suria

Zarina Temui Cinta Dengan Pelakon

BEBERAPA kali gagal dalam percintaan, pelakon Syurgamu Ramadhan, Zarina Zainordin, 26, mengakui sedang dilamun cinta dengan seorang jejaka yang juga terlibat dalam industri hiburan.

Namun begitu dia masih belum bersedia memberitahu gerangan jejaka yang berjaya menawan hatinya itu.

"Hubungan kami masih awal, memang kami bercinta tapi disebabkan saya sering gagal dalam percintaan, saya takut untuk hebohkan perkara ini.

"Bukan ingin terlalu berahsia. Saya tahu ada yang pernah terserempak kami di luar, biarlah lambat laun kalau ada jodoh semua akan tahu," ujarnya.

Zarina turut memberitahu jejaka yang dikenalinya awal Ramadan lalu juga merupakan seorang pelakon.

Malah gandingan pertama dalam sebuah drama terbarunya baru-baru ini menimbulkan bait-bait cinta antara mereka berdua. Dia juga mengakui lebih selesa berkawan dengan jejaka tersebut dan saling memahami antara satu sama lain.

"Sebelum ini saya berkawan dengan orang yang bukan dari kalangan artis, hubungan itu baik cuma kurang persefahaman. Sebagai artis masa bekerja kita lain.

"Kalau boleh saya memang tidak mahu orang dari industri ini, tapi bila kita sering bercakap tidak mahu tapi itu yang kita akan dapat," ujarnya.

Bercerita tentang keistimewaan lelaki tersebut, Zarina memberitahu kekasihnya itu seorang yang memahami dan saling menyokong dalam kerjaya mereka.

"Dia muda setahun daripada saya tapi dia berfikiran matang. Biarpun bercinta tapi hubungan kami seperti sahabat dan saya selesa dengannya.

"Selain itu dia juga tahu banyak perkara tentang agama, jika saya musykil saya akan tanya kepadanya. Itu yang meyakinkan saya tentang lelaki yang saya cari," katanya.

Ketika ditanya tentang ikatan hubungan mereka, Zarina memberitahu dia masih dalam perancangan ke arah itu.

"Saya tidak mahu berkawan lama-lama. sekarang masa yang paling sesuai untuk berumah tangga. Insya-Allah dia pun ada bincang perkara yang sama.

"Sekarang masa untuk kumpul duit dahulu, bila sudah berkahwin nanti sudah tentu saya kena utamakan keluarga pula," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain