KUALA LUMPUR: Pertandingan separuh akhir Muzik Muzik ke 25 bakal menyaksikan persaingan 30 buah lagu tempatan yang dipilih melalui pilihan para pendengar yang akan berlangsung pada 8 November ini pukul 10 malam.
Lagu yang dipilih melalui sistem pencalonan baru iaitu berdasarkan carta lagu-lagu popular di stesen-stesen tempatan yang menekankan cita rasa pendengar merangkumi semua lingkungan umur.
Menurut penerbitnya, Ahmad Shaifullizam Arshad pemilihan kali ini dibuat 100 peratus undian pendengar dan turut mengambil kira kajian dari carta lagu dan kekerapan ia disiarkan melalui enam radio popular tempatan.
"Pemilihan 30 buah lagu ini adalah melalui undian daripada pendengar dari lama web Muzik Muzik dan kita juga mengambil kira melalui carta lagu dari enam buah stesen radio popular selain mengenal pasti kekerapan ia diputarkan.
"Ini kerana kita mahu lagu yang dipertandingkan kali ini ialah lagu yang mesra telinga dan sudah diketahui umum," ujarnya pada sidang media saringan separuh akhir Muzik Muzik 25, di Berjaya Times Square, di sini, Rabu.
Tambahnya, saringan ini juga akan diadili oleh lima juri yang bergiat aktif dalam industri hiburan tanah air.
Pertandingan berprestij ini bertujuan memartabatkan industri muzik tanah air terutamanya memberi pengiktirafan kepada komposer, penulis lirik dan penggubah lagu.
Seperti tahun sebelum ini, biarpun menggunakan format baru, program ini tetap mendapat penyertaan yang sangat menggalakkan daripada pemuzik-pemuzik tempatan.
"Kita menerima banyak penyertaan dengan pelbagai jenis genre muzik. Ternyata format ini berjaya memberi saingan kepada komposer tanah air," ujarnya.
30 buah lagu akan dipertandingkan dalam tiga pusingan yang berlangsung pada 8, 15 dan 22 November.
Ia juga akan disiarkan secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pukul 10 hingga 11.30 malam.
12 buah lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu adalah berdasarkan pemarkahan juri yang akan diumumkan sejurus selepas separuh Akhir Muzik Muzik bahagian 3.
Antara lagu yang akan bersaing ialah seperti berikut:
1. Inilah Cinta - Akim
2. Sejujur Hatimu - Adibah Noor
3. Sofea Jane - Black
4. Kau Harus Ada - Hujan
5. Adrenalin - Faizal Tahir 6. Tika Masanya - Mirwana & Hujan
7. Gerak Hati - Azlan & The Typewriter 8. Pelita - A.P.I
9. Cinta Sempurna - Yuna
10. Nadiku - Sabhi Saddi
11. Tolong Ingatkan Aku - Ana Raffali
12. Ku Ada Kamu - Adira
13. Manifestasi Cinta - Fiq & Mirwana
14. Hanyut - Faizal Tahir
15. Jahat - Stacy
16. Cinta - Mohd
17. Kebahagiaan Dalam Perpisahan - Shahir
18. Mencari Konklusi - Hujan
19. Selamat Malam - Faizal Tahir
20. Drama King - Meet Uncle Hussain & Black
21. Hujan Bunga Di Kuala Lumpur - Ana Raffali
22. Extravaganza - Bunkface 23. Oh Juwita - Nubhan
24. Menggegar Dunia - Adam & Stacy
25. Susun Silangkata - Aizat
26. Cinta Kosmik - The Fabulous Cats 27. Realiti Dewi - Alyah
28. Noktah Cinta - Hafiz 29. Berlari - Tomok
30. Bersamamu - Joe Flizzow