Tina Talisa berasa selesa bila bekerja di bawah bidang penyiaran. Foto TheStar oleh RAYMOND OOIMENGENALI personaliti Tina Talisa daripada tvOne Indonesia, dia merupakan seorang wanita yang tampil dengan penuh keyakinan apabila berdepan dengan umum.Bermula dari gerak langkah tubuh dan gaya percakapannya, orang di sekeliling pasti selesa apabila berbicara dengan wanita ini. Jadi tidak terkejutlah jika Tina diberi tanggungjawab menjadi pengacara bagi rancangan Apa Khabar Indonesia kerana ciri-ciri yang dimiliki Tina.Bagaimanapun, siapa sangka, wanita berumur 31 tahun ini rupa-rupanya seorang graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pergigian di Universiti Padjadjaran, Bandung, Indonesia pada tahun 2001.Dia sepatutnya menjadi doktor gigi sanggup mengetepikan kemahirannya itu hanya untuk bergelar seorang wartawan penyiaran.Katanya yang selesa dengan panggilan Tina, penghijrahannya ke bidang penyiaran bukan kerana dipaksa sesiapa sementara pengajian di universiti dalam bidang pergigian yang diambil juga atas kehendak sendiri. “Memang agak pelik bila apa yang saya buat sekarang tidak ada kaitan langsung dengan apa yang saya pelajari sebelum ini. Tapi inilah lumrah kehidupan bukan? Kerana tidak semua perkara yang kita belajar sebelum ini akan kita serapkan dalam kerjaya kita. “Ketika di awal pembabitan, saya bertugas di stesen radio untuk beberapa tahun. Kemudian, barulah saya menjadi seorang wartawan penyiaran.“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah bosan dengan kerja ini. Pekerjaan dalam bidang penyiaran adalah yang terbaik buat saya. Rasanya saya tidak layak bergelar seorang doktor,” selorohnya yang hadir ke pejabat Mingguan mStar sebagai wakil tvOne bersama empat rakan sekerjanya baru-baru ini.Kehadiran mereka adalah untuk berdiskusi mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh media kedua-dua negara bagi menangkis kemelut yang boleh menambahkan jurang hubungan di antara Malaysia dan Indonesia.Selain itu, beritahu Tina, lebih menarik lagi apabila seseorang wartawan penyiaran itu diberi tugasan ke luar negara untuk menemu ramah dengan ahli-ahli politik dunia.“Saya sukakan cabaran dalam tugas dan kadang-kala kita boleh jadi kreatif kerana cabaran yang terpaksa dilalui itu.“Apa-apa pun, menjadi seorang wartawan penyiaran, saya rasa seperti telah memiliki dua kekayaan iaitu pengetahuan dan pergaulan.“Lebih-lebih lagi bila diberi tugasan ke luar negara, saya rasa gembira sangat kerana dapat bertemu dengan orang-orang besar.“Antara pengalaman yang tidak akan saya lupa ialah ketika pemilihan presiden Amerika Syarikat pada tahun 2008. Saya dapat menemu bual Barrack Obama dan ia seperti satu pengiktirafan buat diri saya,” katanya.Dalam pada itu, Tina juga tidak terlepas daripada gosip-gosip panas seperti yang dilalui oleh selebriti lain.Kontroversi pernah tercetus apabila ada pihak yang telah menyebarkan gambar bogelnya di Internet pada April lalu.Bagaimanapun sedikit pun Tina tidak hairan dengan hal itu dan menegaskan bahawa gambar itu bukan dirinya.“Sebagai seorang wartawan, saya tahu selok-belok orang yang suka menganiaya orang lain. Jadi, apa yang saya lakukan hanyalah, buat tidak tahu.“Bila pihak media lain tanya, saya jawab seperti biasa tanpa perlu melatah. Lama kelamaan, kontroversi itu akan senyap dengan sendirinya,” ujarnya.