Anggota kumpulan Wings yang bakal membuat persembahan. KUALA LUMPUR: Selepas 25 tahun dalam industri muzik tanah air, kumpulan rock popular, Wings bakal membuat persembahan buat julung kalinya dengan iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di pentas berprestij Istana Budaya pada 29 hingga 1 Mei ini.Konsert Opera Hidup Bersama OSK itu akan memberi satu kelainan berbanding konsert-konsert yang pernah dilakukan sebelum ini. Ia merupakan kolaborasi antara Bombbay Worldwide dan Anggerik Evant dengan kerjasama Istana Budaya. Menurut Pengarah Urusan Bombbay Worldwide, Zamberi Shaari atau lebih dikenali sebagai Bombbay, konsert tersebut akan diiringi seramai 43 pemuzik orkestra bersama 16 orang penyanyi koir.“Kami berjanji akan memberi kelainan pada persembahan konsert ini terutamanya dari segi susunan muzik yang seratus peratus diolah semula mengikut kesesuaian orkestra. Selain itu juga banyak lagi kejutan yang sudah dirancang pada tiga malam tersebut.“Memandangkan ini merupakan pertama kali diberi peluang untuk beraksi di Istana Budaya, kami akan melakukan yang terbaik khas buat peminat Wings,” katanya pada sidang media sempena konsert itu di Borneo Baruk Club, Khamis.Lebih istimewa konsert yang berdurasi dua jam setengah itu bakal menampilkan tiga orang vokalis Wings sejak awal penubuhannya iaitu Awie, Mus dan Mel bersama pemain dram Jojet.“Kami mahu kesemua ahli Wings terlibat dalam konsert istimewa ini kerana ia bakal mengukir sejarah tersendiri untuk kumpulan ini,” katanya.Sementara itu, Awie memberitahu akan memberikan sepenuh komitmen dalam konsert tersebut dan menganggap ia sebagai hadiah buat peminatnya.“Saya akan menyanyikan lebih 20 buah lagu termasuk lagu lama dan baru dalam semua album kami. Namun begitu saya faham bukan mudah untuk membuat pilihan lagu terbaik dan sesuai dengan cita rasa peminat.“Tentang komitmen dan latihan vokal, saya tiada masalah kerana sekarang saya sedang membuat pementasan Lat yang turut memerlukan saya menyanyi,” katanya.Menyentuh soal penampilan, Awie memberitahu ia mengikut kepada peraturan dan garis paduan yang sudah ditetapkan oleh pihak IB.“Tidak semestinya kami perlu memakai pakaian yang terlalu formal atau terlalu tidak formal seperti di mana-mana konsert. Kami akan mengikut garis paduan IB dan bersesuaian dengan konsert itu nanti,” katanya.Ketika ditanya, mengapa setelah 25 tahun baru mereka berani membuat persembahan di pentas Panggung Sari itu, Awie memberitahu ia berikutan kesediaan mereka terhadap sebuah konsert berprestij berkenaan.“Kami rasa ini merupakan masa yang paling tepat untuk membuat persembahan di istana Budaya. Ia adalah kemuncak kepada perjalanan Wings itu sendiri,” ujarnya.Tiket-tiket berharga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM245 dan RM305 boleh didapati di www.ticket2u.biz