suria

Wardina Kesal Pujian Bekas Mufti Dikontroversikan

Kenyataan Dr Asri yang ditampal oleh salah seorang pengikut Facebook Wardina. - Foto ihsan WARDINA
Kenyataan Dr Asri yang ditampal oleh salah seorang pengikut Facebook Wardina. - Foto ihsan WARDINA
Kenyataan Dr Asri yang ditampal oleh salah seorang pengikut Facebook Wardina. - Foto ihsan WARDINA

PETALING JAYA: Pengacara Wardina Saffiyah agak terluka dengan komen-komen yang menyakitkan hati oleh pelayar Facebook setelah bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin memujinya sebagai artis contoh yang memiliki rupa dan akhlak yang baik.

Selepas pujian itu ditulis oleh Dr Asri menerusi Facebook miliknya Khamis, ramai yang memberikan pelbagai komen sama ada yang baik dan yang buruk. Bagaimanapun, ia dipercayai telah di padam oleh Dr Asri sendiri setelah perkara tersebut menjadi kontroversi.

Biarpun begitu, Wardina menganggap kritikan negatif itu sebagai lumrah yang perlu dilalui oleh seorang public figure sepertinya.

“Saya tidak sempurna, tapi saya mahu menjadi yang lebih baik dan maafkanlah kesalahan saya.

“Saya tidak dapat menerima komen-komen yang menyakitkan hati itu. Buat pengetahuan semua, saya tidak minta dipuji kerana saya merasakan diri ini jauh dari kesempurnaan.

“Bagaimanapun, saya menganggap komen negatif itu sebagai peringatan kepada saya supaya tidak terbuai,” katanya kepada mStar Online.

Jika ada yang tidak tahu, pelakon dan model iklan itu bersahabat baik dengan Dr Asri. Dia menganggap Dr Asri sebagai idola yang mampu memberikan pendekatan dakwah yang berbeza dan berani.

“Walaupun kami berkawan baik, saya tidak menganggap pujian Dr Asri itu sebagai sesuatu yang membanggakan. Tetapi saya tetap berterima kasih dan rasa dihargai kerana beliau berfikiran seperti itu.

“Saya berharap beliau terus memberikan panduan dengan penuh hikmah untuk saya menjadi seorang yang lebih baik,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Wardina pernah mencetuskan kontroversi apabila memberikan pendapat selebriti Malaysia tidak layak digelar ikon.

Selain bergelar seorang pelajar dalam jurusan psikologi, Wardina turut menjadi pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3, duta tudung Ariani, pelakon iklan ubat gigi Mu’min dan susu Anmum.

Ibu kepada tiga orang anak ini turut meluangkan masanya menulis buku dan menghadirkan diri untuk program kemasyarakatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain