Black dan Jaclyn VictorPETALING JAYA: Penyanyi Jaclyn Victor menasihatkan agar setiap artis perlu berhati-hati dalam menyertai sebarang kegiatan amal yang bertujuan membuat kutipan amal.Jelas Jaclyn, dia pernah beberapa kali tertipu dengan acara-acara yang dianjurkan untuk tujuan amal namun ia hanyalah sekadar nama semata-mata. "Saya suka menyertai acara-acara berkaitan amal kerana saya akan rasa bersalah jika tidak melakukan apa-apa yang berfaedah untuk masyarakat."Namun begitu kita perlu berhati-hati kerana ada yang sekadar menggunakan nama acara amal tetapi sebenarnya mereka bukan bertujuan untuk itu," katanya ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Feel Good Run 2011, di sini, Jumaat.Tambah Jac, dia tidak bersetuju sesebuah acara yang dikatakan sebagai amal kebajikan tetapi dilakukan dengan cara tidak sepatutnya."Selain itu, saya paling tidak suka jika acara amal kebajikan tersebut dibuat dalam keadaan yang tidak baik seperti pesta dengan hidangan minuman keras."Pada pendapat saya ia merupakan aktiviti yang mulia jadi apa salahnya dibuat dengan cara yang sesuai," katanya.Menurut Jac, dia menganggap aktiviti amal kebajikan merupakan tanggungjawab semua masyarakat lebih-lebih lagi golongan selebriti seperti mereka."Saya selalu menerima undangan untuk aktiviti amal dan jika saya ada masa terluang saya tidak menolaknya," katanya yang sudah lima tahun meraikan wad kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser di Hospital Kuala Lumpur.Manakala bagi penyanyi Black (Mentor) yang turut menyertai program ini memberitahu larian amal seiring dengan minatnya yang gemar bersukan."Saya memang suka bersukan jadi pelawaan menyertai larian amal ini merupakan program yang bagi saya sesuai dengan jiwa saya."Lagi pula saya tidak sibuk dengan persembahan pada tarikh tersebut. Saya rasa bangga dapat membantu mereka yang memerlukan," katanya.Selain Jaclyn Victor dan Black, beberapa artis terkenal turut menjayakan program amal ini antaranya, Daphne Iking, Cheryl Samad, Jehan Miskin, dan Dynas Mokhtar.Acara larian amal yang akan berlangsung pada 3 Julai depan ini bertujuan untuk mengutip sumbangan kepada Yayasan Jantung Malaysia, Majlis Kanser Nasional (Makna).Setiap peserta dikenakan bayaran sebanyak RM25 sebagai yuran penyertaan. Pendaftaran boleh dibuat secara atas talian www.ntv7.com.my/feelgoodrun sebelum 3 Jun.