Sabhi SaddiKUALA LUMPUR: Penyanyi Sabhi Saddi yang menyambut tahun kedua berhari raya sebagai seorang artis mengakui teruja untuk melayan para peminat dan sanak saudara yang mahu beraya dengannya.Katanya, sambutan Aidilfitri pada tahun ini menjadi lebih meriah kerana ramai peminat yang mahu berkunjung ke rumah keluarganya di Kota Kinabalu, Sabah untuk bertemu mesra. "Saya cukup terharu dan gembira apabila para peminat sudah bertanyakan kepada saya untuk bertandang ke rumah sejak awal-awal lagi."Yang kelakarnya, bukan setakat hendak beraya, mereka juga meminta duit raya daripada saya. Sebab itu, saya kena berbelanja lebih sikit pada tahun ini," katanya dengan nada ketawa.Mengulas lanjut tentang sambutan perayaan itu, Sabhi turut merancang untuk mengerjakan umrah dalam masa terdekat ketika pergi bercuti ke Abu Dhabi tidak lama lagi."Sebenarnya, saya ada memenangi tiket percutian ke Abu Dhabi. Sudah alang-alang berada di tanah Arab, mengapa tidak saya mengerjakan umrah sekali gus. Lagipun, jarak dan kosnya juga tidak banyak mana."Cuma, kalau diikutkan, saya merancang ke sana pada awal Hari Raya ini tetapi selepas berfikir semula rasa kurang sesuai pula tinggalkan keluarga pada waktu begini semata-mata untuk pergi bercuti"Jadi, mungkin saya akan berangkat ke sana selepas selesai musim Hari Raya," katanya.Usai sambutan Aidilfitri, Sabhi akan memulakan proses rakaman untuk dua lagu “single” terbarunya yang merupakan versi nyanyian semula lagu Azmil Mustapha dan Zulkifli Ahmad.