AlyahNAMA penyanyi Alyah, 30, semakin meniti di bibir peminat muzik selepas kemunculan lagu-lagu popularnya seperti Tak Mungkin Kerna Sayang, Realiti Dewi, Kau Bisu dan Kisah Hati.Bukan sekadar lagu yang menyentuh perasaan, vokalnya yang mantap berjaya memukau pendengar tempatan sehingga ada yang tidak jemu meminta lagu-lagu tersebut diulang siar di radio semata-mata mahu mendengar suara Alyah. Biarpun pernah dihambat dengan gosip liar kononnya mempunyai disiplin yang teruk dan tiba-tiba menghilangkan diri tanpa berita, Alyah kembali bangkit dan berjaya membuktikan bahawa karier seninya masih teguh manakala lagu-lagu nyanyiannya diterima ramai.Bukan sekadar menumpukan kepada kerjayanya, bermula Oktober ini, Alyah akan memperkenalkan sebuah kumpulan wanita yang digelar Chocolate.“Kumpulan ini bernaung di bawah pengurusan syarikat saya, Like Music Entertainment. Saya akan mempromosikan single terbaru bersama mereka berjudul Boomerang yang digubah oleh Audi Mok dan Omar K manakala liriknya ditulis oleh Ad Samad.“Saya juga sibuk menjalankan promosi lagu-lagu kumpulan itu di Singapura.“Kebelakangan ini, saya agak sering ke Singapura untuk urusan promosi dan publisiti termasuk perbincangan dengan wakil di sana.“Pada 26 hingga 30 September lalu, saya ke Singapura untuk trip promosi merangkumi media cetak dan radio. Promosi ini akan berterusan selepas ini untuk stesen televisyen dan juga persembahan-persembahan di sana,” katanya kepada OopStarz!Selain bercerita tentang karier, baru-baru ini nama Alyah turut dikaitkan tentang kisah cintanya dengan pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS.Seperti yang pernah dijelaskan dalam media-media sebelum ini, Alyah akui hubungan mereka sekadar kawan yang sama-sama bekerja dalam industri yang sama.Beralih kepada dunia kecantikan, penyanyi yang dilahirkan di Gelang Patah, Johor ini akui tidak mengamalkan sebarang petua tradisional sebaliknya lebih banyak mempraktikkan tidur dan rehat yang cukup serta menjaga pemakanannya.“Cara penjagaan kecantikan saya sederhana sahaja dan jika ada kelapangan, saya akan mengunjungi pusat kecantikan seperti spa dan salun untuk memanjakan diri,” katanya lagi.Apabila memandang wajah Alyah, ramai yang tertarik dengan cara dia menata rias wajahnya. Walaupun solekannya tampak tebal, tetapi wajahnya tidak kelihatan pelik dan sesuai dengan solekan sebegitu.“Saya selalu menggunakan khidmat jurusolek artis yang sama iaitu Bosco atau Chomel kerana mereka lebih memahami bentuk wajah saya. Tapi biasanya saya hanya akan menggunakan mekap yang tebal untuk program-program tertentu sahaja,” beritahunya.Dengan kombinasi fesyen yang lain dari lain, Alyah sebenarnya tidak meletakkan fesyen sebagai simbol dirinya walaupun kadangkala dia menjadi trend-setter kepada remaja masa kini.“Fesyen saya sentiasa berubah-ubah mengikut perubahan semasa. Pada saya, sesiapa sahaja takkan terikat pada satu fesyen sahaja. Ia akan berubah mengikut tuntutan lagu dan semuanya bergantung kepada kesesuaian sesebuah konsep lagu itu,” jelasnya lagi sebelum menutup bicara.* Artikel ini dipetik daripada akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.