suria

Julia Ziegler Temui Shira Untuk Beri Nasihat

Shira dan suami, Ijoy.
Shira dan suami, Ijoy.
Shira dan suami, Ijoy.

PETALING JAYA: Pelakon Julia Ziegler mengakui telah menemui pelakon Sharifah Shahirah (Shira) untuk meminta dia menasihatkan adiknya, Sharifah Nurul Sakinah agar tidak menyebarkan fitnah terhadapnya.

Kata Julia, dia bertemu Shira bukan berniat untuk berbalah sebaliknya meminta pengacara tersebut menegur kelakuan Sakinah yang telah menyebarkan cerita kononnya Julia mempunyai hubungan sulit dengan seorang jurugambar.

"Saya tidak serang Shira tapi saya jumpa dia kerana ingin bercakap dengan cara yang baik agar dia menasihatkan adiknya Kina (Sakinah) untuk menghentikan fitnah terhadap saya.

"Saya dapat tahu dia (Sakinah) yang menyebarkan cerita-cerita tersebut. Saya pernah telefon Kina dan bercakap sendiri dengannya tapi dia seperti tidak melayan panggilan saya," kata Julia kepada mStar Online, di sini, Selasa.

Julia diminta mengulas dakwaan sebuah blog hiburan yang menuduh dia menyerang penyampai radio SuriaFM itu pada majlis resepsi persandingan Norman dan Memey pada 28 September lalu di Hotel Crowne Plaza.

Dalam pada itu, Julia berkata dia tidak pernah berniat memanjangkan kontroversi tersebut malah mahu membersihkan namanya secepat mungkin.

"Saya jumpa Shira bukan mahu panjangkan cerita ini, kalau boleh saya tidak mahu buka mulut dan bercakap lagi tentang ini.

"Saya cuma mahu mereka berhenti bercakap dan menuduh saya dengan tuduhan begitu," katanya.

Sementara itu, Julia turut menafikan tindakan tersebut berpunca kerana perasaan cemburu atau mahu berebut seorang pelakon lelaki, Gambit Saifullah.

"Ini tidak ada kaitan dengan lelaki atau siapa-siapa tapi sebab maruah saya yang sudah tercalar sebab cerita-cerita ini," tuturnya.

Sementara itu, Shira yang dihubungi enggan membesarkan perkara tersebut dan meminta maaf kepada Julia jika adiknya itu telah melakukan kesalahan.

"Saya rasa ini bukan tahap saya untuk bergaduh dengan siapa-siapa orang dalam industri ini, bagi saya mereka masih muda.

"Kami sudah pun bermaaf-maafan dan tidak mahu memanjangkan lagi kes ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain