suria

Fakhrul Dan Nazrul Selesa Mengendalikan Program 'Skuad Imam Muda'

Nazrul dan Fakhrul selesa mengendalikan Skuad Imam Muda. Foto Ihsan ASTRO
Nazrul dan Fakhrul selesa mengendalikan Skuad Imam Muda. Foto Ihsan ASTRO
Nazrul dan Fakhrul selesa mengendalikan Skuad Imam Muda. Foto Ihsan ASTRO

KUALA LUMPUR: Dua peserta program realiti Imam Muda musim kedua, Mohd Fakhrurrazi Hussin dan Nazrul Izwan Zolkiflee mengakui selesa menggendalikan program terbaru Astro Oasis, Skuad Imam Muda.

Fakhrul dan Nazrul berkata, walaupun berasa kekok pada awal penggambaran program travelogue 13 episod itu, mereka mula berasa seronok setelah mendapat bantuan daripada pihak produksi.

"Semasa menyertai program Imam Muda ia berbeza kerana konsepnya yang formal berbanding dengan Skuad Imam Muda kami perlu menjadi lebih santai dan cergas.

"Tapi Alhamdulilah semuanya berjalan dengan lancar dan kami berasa seronok dapat mengendalikan program ini," ujar Fakhrul semasa sidang media pelancaran program tersebut di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Nazrul berkata, pengalaman mengendalikan program tersebut telah memberikan persepsi baru kepada diri mereka berdua terhadap dunia luar yang sebelum ini agak asing.

"Dari kecil sehingga dewasa kami banyak menghabiskan masa di asrama sehingga melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.

"Pendedahan mengenai dunia luar agak kurang, jadi program ini telah memberikan pendedahan yang luas mengenai masyarakat diluar sana," ujarnya.

Tambahnya, selain melawat pelbagai tempat, mereka berdua banyak berkongsi pandangan, memberi nasihat dan motivasi kepada masyarakat yang ditemui terutamanya mengenai hal-hal agama.

"Melalui program ini jelas menunjukkan pelbagai medium boleh digunakan untuk berdakwah dan bukan hanya dilakukan di dalam masjid semata-mata. Malah ia menyeronokkan," katanya.

Nazrul memberitahu antara tempat yang dikunjungi adalah seperti mendekati kehidupan Orang Asli Muslim, merasai pengalaman sebagai nelayan, mendekati pelajari komuniti dan bersama warga Felda.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Besar berkata, program itu diwujudkan sebagai salah satu medium yang berperanan menyebarkan informasi berguna kepada masyarakat.

Katanya, Skuad Imam Muda menggunakan pendekatan santai tetapi mudah diterima oleh pelbagai lapisan penonton dalam menyuntik elemen keislaman termasuk pendidikan, hiburan dan dokumentari.

"Mengotakan janji sebelum ini, barisan pendakwah muda ini akan menyampaikan dakwah dan berkongsi ilmu serta pengalaman kepada masyarakat yang selama ini memberi perhatian dan sokongan kepada program Imam Muda," ujarnya.

Izelan berkata, Skuad Imam Muda menonjolkan metodologi dakwah secara santai di samping memaparkan perjalanan dua orang Imam Muda menggunakan motor home untuk bergerak ke seluruh semenanjung Malaysia.

Tambahnya, setiap lokasi dan pengalaman mereka akan didokmentasikan kepada sebuah realiti kehidupan untuk mendalami masalah dan keperluan masyarakat.

Skuad Imam Muda akan bermula bersiaran oada setiap hari Rabu, pukul 9 malam bermula 7 Disember depan menerusi Astro Oasis (106).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan