SUBANG JAYA: Penulis lirik terkenal, Syed Mohd Amin Syed Hashim atau lebih dikenali sebagai S Amin Shahab dianugerahkan Anugerah Nadi Cipta pada majlis Malam Mesra Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2011 di Hotel Grand Dorsett disini, malam Selasa.S Amin ketika ditemui berkata, anugerah tersebut adalah kali pertama di dalam karier seninya sebagai penulis lirik dan terharu dengan pemilihan MACP terhadapnya tahun ini. "MACP adalah sebuah badan yang menjaga kebajikan penulis lirik, pencipta lagu dari segi royalti dan jasa mereka dalam memperjuangkan hak kami adalah sangat dihargai," ujarnya.Dalam pada itu, komposer dan penyanyi terkenal, Datuk M. Nasir dinamakan sebagai Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak selama 12 kali berturut-turut.Selain itu, syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd memenangi anugerah Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak.Seiring dengan kejayaan M. Nasir, MACP turut mengiktiraf kejayaan sahabat karib dan gandingannya dalam membuat lagu baru iaitu penulis lirik Allahyarham Rosli Khamis (Loloq) apabila lelaki itu memenangi anugerah Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak.Sementara itu, Sam Bunkface atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharum memenangi anugerah Komposer Muda Berpotensi (25 tahun kebawah) manakala lagu Dan Sebenarnya (Yuna, Adil Ali, Efry Arwis, Pa An Td, Syazwani) memenangi kategori Persembahan Lagu Melayu Terbanyak menerusi Dan Sebenarnya.Turut memenangi anugerah pada malam itu, Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd.Kategori lain adalah Persembahan Lagu Cina Terbanyak (Wo Ai Ta / Tan Vui Chuan dan Huang Tin) dan Persembahan Lagu Inggeris Terbanyak (You / Haze, Malique dan Joe Flizzow).Setiap pemenang membawa pulang hadiah berbentuk trofi.Majlis yang diacarakan oleh ND Lala itu turut diserikan dengan persembahan daripada Yuna, Najwa Latif, Bunkface dan Amirah Ali.