suria

Bella Dally Tolak Watak Jahat Demi Ibu Bapa

Bella Dally
Bella Dally
Bella Dally

PETALING JAYA: Pelakon baru Nabilah Ali Dally (Bella) mengakui tidak rela dirinya menjadi bahan eksploitasi pihak penerbit menerusi watak-watak negatif sehingga boleh menjejaskan imejnya.

Aktres berusia 21 tahun itu berkata, selepas tiga tahun menceburi bidang lakonan dia kini mahu bersikap lebih selektif dengan mengelakkan watak-watak negatif yang kurang disenangi ibu bapanya.

“Saya berasa inilah waktunya untuk saya bersikap lebih selektif pada watak-watak lakonan saya. Bukan mahu bersikap sombong atau besar kepala, cuma saya mahu elakkan watak negatif seperti menjadi wanita GRO atau penagih dadah.

“Sebelum ini, saya pernah membawakan watak sebegitu dan ia kurang disenangi oleh ibu bapa kerana kurang manis apabila ditonton di televisyen,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Sehubungan itu, pelakon berdarah kacukan Melayu dan Pakistan (bapa) dan Cina, Filipina dan Jerman (ibu) ini, berkata dia berharap dapat menerima lebih banyak watak positif demi menyenangkan hati kedua orang tuanya.

“Apabila orang tua saya kurang suka dan tidak begitu merestui apa yang saya lakukan, tentulah saya sebagai anak berasa tidak sedap hati.

“Malah, saya sendiri pun tidak selesa kalau membawa watak yang terlalu liar, jahat atau mendedahkan tubuh badan. Kalau boleh saya mahu lebih banyak watak yang baik dan positif selepas ini,” katanya.

Diusik mengenai lenggok pertuturannya yang semakin jelas dan kurang kedengaran dialek Sabah, Bella berkata ia dicapai berkat usahanya berkomunikasi dalam bahasa Malaysia standard sejak dia bergelar pelakon.

“Saya sedar masalah dialek adalah perkara besar yang membataskan perkembangan bakat-bakat lakonan dari Sabah.

"Sejak tiga tahun lalu, saya bekerja-keras dengan berkomunikasi dalam bahasa Malaysia yang standard dengan orang-orang Semenanjung.

“Saya akui berdepan kesulitan untuk berdialog dengan bahasa Malaysia yang standard pada tahun pertama. Kini saya semakin nampak peningkatan itu,” katanya.

Bella kini terlibat dalam penggambaran drama bersiri Natrah untuk siaran pada Ogos depan di TV2.

Aksinya juga boleh ditonton dalam drama Friday I’m In Love yang kini disiarkan pada setiap Khamis pukul 8.30 malam di TV9.

Artikel Lain