suria

Tom Cruise & Katie Holmes Selesaikan Kes Cerai Mereka Di Luar Mahkamah

TOM Cruise dan Katie Holmes secara dramatiknya berjaya menyelesaikan isu perceraian mereka di luar mahkamah demi untuk mengelak kisah dalaman rumah tangga mereka didedahkan ketika perbicaraan perceraian dan hak penjagaan anak.

Menurut portal berita thesun.co.uk, Cruise, 50, dan Katie, 33, telah mencapai persetujuan yang antara lain membenarkan hero Mission Imposible itu hak lawatan yang panjang ke atas anak mereka Suri, yang berusia enam tahun.

Katie telah memfailkan notis perceraian di bandar raya New York dua minggu lalu yang mengemparkan Hollywood dan juga seluruh peminat Cruise di serata dunia.

Ketika itu dia telah menuntut hak penjagaan sepenuhnya ke atas Suri dalam apa yang dilihat oleh ramai pihak sebagai usaha terakhir untuk melindungi anaknya itu daripada dikawal oleh Cruise dan juga ajaran Gereja Sainstologi yang dianuti oleh pelakon itu.

Bagaimanapun selepas wakil kedua-dua pihak berunding panjang sepanjang hujung minggu baru-baru ini, mereka telah mencapai persetujuan dalam soal hak penjagaan anak, hak nafkah anak dan juga bersetuju tentang cara untuk membahagikan harta sepencarian serta aset.

Aset serta wang tunai yang dimiliki oleh pasangan itu adalah dianggarkan berjumlah £175 juta.

Katie telah dilaporkan menghabiskan masa sehingga enam jam di pejabat peguamnya di Manhattan, New York pada Sabtu.

Adalah dipercayai, Katie bakal menerima sehingga £10 juta daripada Cruise di samping harta peribadinya yang dianggarkan berjumlah £15 juta.

Cruise pada mulanya ingin membalas fail perceraian di Negeri California, dengan harapan polisi liberal negeri itu terhadap hak individu untuk menganut kepercayaan agama akan membuka ruang yang lebih besar untuknya memenangi hak penjagaan ke atas Suri.

Bagaimanapun atas nasihat peguam-peguamnya, Cruise akhirnya tunduk dan akur kepada sebahagian besar permintaan Katie demi untuk melindungi rahsia agama Saintologi yang dianutinya itu daripada terdedah semasa perbicaraan.

Sementara itu, satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua belah pihak mengesahkan betapa perceraian mereka itu adalah berpunca daripada perbezaan kepercayaan agama masing-masing.

“Kami ingin menegaskan di sini bahawa kami saling menghormati komitmen dan kepercayaan agama yang kami anuti," jelas kenyataan itu.

Sementara itu, laporan dari Amerika menyebut bahawa Cruise tidak sama sekali dibenarkan mempengaruhi Suri ke atas ajaran agama Saintologi yang dianutinya itu.

Dan untuk memastikan itu tidak berlaku, Suri akan sentiasa ditemani oleh pengasuhnya atau pengawal peribadinya sepanjang masa dia dilawati oleh bapanya itu.

Sementara itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat peguam Katie Holmes menyebut sepanjang rundingan itu berlangsung, Cruise telah memperlihatkan sikap profesional dan keperihatinannya.

Peguam Jonathan Wolfe memuji sikap Tom Cruise itu.

“Kes perceraian ini telah berjaya diselesaikan di luar kamar mahkamah dan persetujuan mengenai terma-terma perceraian juga telah berjaya diselesaikan dengan baik dan ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tom Cruise dan juga wakil-wakilnya dalam rundingan ini yang turut membantu mempercepatkan penyelesaian di luar mahkamah ini,” kata Wolfe.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aisha Juara BRTM 2012

Artikel Lain