suria

Bajet Hari Raya Diana Danielle Dihabiskan Untuk Makanan

Diana Danielle utamakan perbelanjaan untuk adiknya, Halley Hayden pada Hari Raya ini. - Foto oleh AZMAN GHANI
Diana Danielle utamakan perbelanjaan untuk adiknya, Halley Hayden pada Hari Raya ini. - Foto oleh AZMAN GHANI
Diana Danielle utamakan perbelanjaan untuk adiknya, Halley Hayden pada Hari Raya ini. - Foto oleh AZMAN GHANI

KUALA LUMPUR: Pelakon jelita Diana Danielle lebih teruja memperuntukkan bajet yang besar untuk membeli makanan berbanding pakaian pada musim perayaan Aidilfitri ini.

Pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson, 21, ini berkata, personaliti dirinya yang ringkas membuatkan dia tidak peduli soal pakaian Hari Raya tetapi lebih mengutamakan soal makanan dan minuman setiap kali pulang ke kampungnya di Perak.

“Saya jenis orang yang ringkas dan tidak kisah mengenai jenis pakaian untuk Hari Raya. Saya tidak tempah apa-apa pun tetapi hanya beli baju yang murah-murah di pasar raya.

“Buat apa hendak pakai baju yang mahal-mahal tetapi duduk di kampung dan tiada siapa yang nampak? Saya beli baju sepasang dua pun untuk beraya dengan kawan-kawan di Kuala Lumpur sahaja

“Saya lebih suka berbelanja untuk makan dan minum ketika kami bercuti di kampung,” katanya yang menyambut Hari Raya di kampung ibunya selama tiga hari.

Aktres filem Hantu Gangster ini berkata, dia kini memberikan tumpuan kepada pakaian dan hal ehwal adik angkatnya Halley Hayden, 4, yang semakin membesar.

“Adik saya Halley semakin membesar dan dia kelihatan cerdik. Hari Raya kami menjadi lebih meriah dengan gelagat dan kerenahnya.

“Saya tidak kisah berbelanja lebih untuk adik. Biarlah dia dimanjakan sikit asalkan dia gembira sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

Mengenai komitmen seni, Diana hanya diberi cuti selama lima hari dan bakal menyambung penggambaran filem Kami Histeria.

Artikel Lain