suria

Bapa Mahu Kerjaya Shila Amzah Berkembang Di Asia

N.D. Lala menganggap kejayaan anaknya di luar negara adalah satu hadiah untuk negara.
N.D. Lala menganggap kejayaan anaknya di luar negara adalah satu hadiah untuk negara.
N.D. Lala menganggap kejayaan anaknya di luar negara adalah satu hadiah untuk negara.

PETALING JAYA: Bapa kepada penyanyi Shila Amzah iaitu N.D Lala menjelaskan kemenangan anak sulungnya itu pada pertandingan Asia Wave 2012 adalah sebagai satu hadiah buat negara.

N.D Lala berkata, sebagai rakyat Malaysia Shila telah berjaya mengharumkan nama negara di mata masyarakat luar dan dia sudah melunaskan tanggungjawab sebagai warganegara.

"Jika ditanya apakah jasa dan budi yang telah kita lakukan untuk negara yang dicintai?

"Rasanya Shila telah melunaskan persoalan tersebut dan membuatkan nama negaranya terkenal di mata masyarakat dunia menerusi persembahan seni," ujarnya kepada mStar Online.

Pada 20 September lalu, Shila telah diumumkan sebagai juara program Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China.

Shila menyampaikan tiga buah lagu iaitu Gemilang nyanyian asal Jaclyn Victor, Grenade (Bruno Mars) dan sebuah lagu Mandarin berjudul Zheng Fu (Na Ying).

Kepulangan Shila bersama keluarganya di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA pada Rabu lalu turut disambut oleh peminat dan rakan-rakan media.

Dalam pada itu, N.D Lala berkata dia akan memastikan kerjaya anaknya itu akan terus berkembang dengan baik di rantau Asia selepas ini.

Katanya, peluang yang diperoleh oleh anaknya itu tidak akan disia-siakan dan sebagai bapa dia akan terus memberi semangat untuk membantu Shila dalam merealisasikan impian itu.

"Tiada apa yang boleh membuatkan seorang bapa berasa bangga apabila anaknya mengecap kejayaan dan ini adalah satu permulaan yang cukup baik untuknya meneruskan cita-cita yang telah dipendam selama ini.

"Tambahan pula kemenangan ini adalah paling besar sepanjang 12 tahun Shila bergelar anak seni," katanya.

Sementara itu, N.D. Lala berkata, Shila akan kerap berulang alik ke China selepas ini bagi memenuhi undangan nyanyian.

Malah kata N.D. Lala, jadual anaknya itu akan bertambah padat apabila pihaknya bersetuju untuk menandatangani kontrak bersama Shanghai Media Group (SME) yang menawarkan dana bersama pemenang tempat kedua dan ketiga bernilai RM5 juta.

"Pelbagai perancangan telah diaturkan oleh pihak SME untuk Shila dan kemungkinan dia akan lebih menghabiskan banyak masa di China bagi proses rakaman album dan sebagainya," katanya.

Tambah N.D Lala lagi, ini juga adalah masa untuk membuktikan kepada masyarakat luar bahawa penyanyi daripada Malaysia mempunyai bakat yang luar biasa setanding dengan produk asing.

Artikel Sebelum

Artikel Lain