Anas RidzuanPETALING JAYA: Penyanyi Anas Ridzuan mengakui terkejut dan menolak persepsi segelintir pihak yang menuduh dia mula berubah sikap dan 'besar kepala' kerana faktor kejutan budaya sejak bergelar artis.Anas, 23, berkata, dakwaan tersebut adalah tidak berasas kerana dia bukannya naif dengan dunia hiburan tanah air walaupun namanya baru sahaja dikenali selepas menyertai program Mentor 6, beberapa bulan lalu. “Saya tidak rasa bahawa saya mengalami kejutan budaya seperti yang diperkatakan itu. Bukannya saya baru dan naif dalam bidang hiburan ini?“Memang nama saya mula dikenali selepas menyertai Mentor 6 tetapi sebelum itu lagi saya sudah terbabit dalam bidang seni menerusi teater dan beberapa aktiviti berkaitan.“Malah, saya sendiri belajar dalam jurusan seni persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum ini. Sekurang-kurangnya saya ada asas dan dikelilingi rakan-rakan yang bekerja dalam bidang seni,” katanya ketika dihubungi mStar Online.Timbul desas desus kononnya pemenang tempat ketiga program realiti nyanyian ini kurang disenangi segelintir pihak termasuk pihak produksi dan stesen televisyen (TV) apabila dia dikatakan mula bersikap besar kepala dan tidak berdisiplin.Ditanya mengenai perkara itu, Anas berkata, dia mengakui tuduhan itu timbul kerana kesilapan yang pernah dilakukannya kerana gagal menghadiri rakaman sebuah rancangan TV sebelum ini.“Saya sedar perkara ini timbul berpunca daripada kesilapan saya sebelum ini. Saya pernah tidak hadir pada sebuah rakaman program TV kerana urusan peribadi di kampung.“Saya pernah jelaskan kepada pihak terbabit tetapi saya tahu tindakan itu meninggalkan persepsi yang buruk kepada reputasi saya.“Namun, saya belajar daripada kesilapan itu dan cuba memperbaikinya. Saya harap jangan timbul lagi salah faham kepada mana-mana pihak mengenai komitmen dan kesungguhan saya dalam bidang ini,” katanya.Mengenai kerjaya, Anas berkata, dia sedang sibuk mengumpulkan lagu-lagu baru selepas kemunculan lagu pertama berjudul Hanya Dirimu.