suria

Stesen TV Media Prima Beri Golongan Muda Hasilkan Iklan Video

Ahmad Izham Omar
Ahmad Izham Omar
Ahmad Izham Omar

KUALA LUMPUR: Syarikat penyiaran Media Prima Berhad (MPB) akan memperkenalkan sebuah laman web video digital yang disebut "Veddo" bagi memberi peluang kepada golongan kreatif menghasilkan iklan video dalam mempromosikan sesebuah produk.

Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen MPB, Ahmad Izham Omar, berkata, menerusi laman web beralamat www.veddo.com.my tersebut, individu boleh memilih mana-mana produk yang dilampirkan dengan menghantar story boardmasing-masing untuk dinilai.

"Walaupun ia tertumpu bagi golongan muda, tetapi sebenarnya siapa-siapa pun boleh menghantar story board termasuklah golongan profesional.

"Menariknya pengkarya terbaik bukan sekadar mendapat modal untuk menghasilkan video iklan sesebuah produk, tetapi mereka turut diberi habuan dengan pelbagai hadiah," katanya.

Izham ditemui pada sidang akhbar bagi memaklumkan strategi stesen penyiaran itu pada 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dekat sini, petang Jumaat.

Tambah Izham, Veddo yang akan dilancarkan pada Disember ini dapat membantu syarikat pengiklanan dalam mencari bakat-bakat kreatif dan menjadi satu platform dalam memberi peluang kepada mereka mengembangkan bakat masing-masing.

Dalam masa yang sama katanya, semua rangkaian saluran di bawah MPB iaitu TV3, 8TV, ntv7 dan TV9 boleh diikuti secara langsung melalui www.tonton.com.my.

Malah beberapa program terpilih juga dapat disaksikan secara eksklusif menerusi laman berkenaan sebelum ia disiarkan menerusi televisyen.

TV3 dominasi saluran TV

Sementara itu, TV3 berjaya mengekalkan posisinya sebagai peneraju utama stesen televisyen di negara ini sepanjang 28 tahun penubuhannya.

Ia mendominasi 48 hingga 50 peratus rating siarannya dan akan muncul dengan drama-drama yang lebih menarik pada tahun depan seperti Sebenarnya Saya Isteri dan Kampung Girl.

Antara program-program baru lain yang bakal diperkenalkan ialah The Taste, Karlos, Ummi, Diandra dan Unsung Places.

Bagaimanapun program-program yang pernah ditayangkan seperti Dunia Tersembunyi, Edisi Khas, Jalan-Jalan Cari Makan, Melodi, Mentor 7, Sarapan dan slot-slot drama popular seperti Akasia, Lestari, Aksi, Zehra, Samarinda serta Sinetron akan dikekalkan dengan episod-episod baru yang lebih menarik.

Pilihan baru di ntv7

Sementara itu saluran ntv7 pula bakal meletakkan sasaran kepada pilihan baru iaitu Modern Urban Progressive Adults (MUPAS).

Antara rancangan istimewa lain yang disusun pada 2013 menerusi saluran itu ialah drama Tanah Merah, Bella Awards 2013 (Majlis anugerah buat wanita), Projek Korus (pertandingan koir), Phat Fabes & Ben Show (rancangan temu bual) dan The Super Cute (Pertandingan model kanak-kanak).

Rancangan hit seperti Seekers, Mars vs Venus, Mandarin Battle Star dan Time FM akan meneruskan siaran pada musim terbaru.

ntv7 juga akan meneruskan menyiarkan pelbagai drama bersiri Cina seperti The Undercover, Break Free dan Superhero at Home.

Program Hollywood & Asia di 8TV

Stesen 8TV pula menjanjikan pelbagai program Hollywood dan Asia terbaik seperti The Lost Bladesman, White Vengeance, 2 Broke Girls dan Switched At Birth.

Program tempatan 8TV terbaru pula seperti G-Thang, Ho Chak!, Original Hustlers dan What If.

TV9 beri fokus rancangan hiburan

Manakala TV9 akan memberi fokus kepada terhadap rancangan hiburan yang lebih 'bertenaga' seperti Versus 2, Cinta Jangan Pergi, Delina, Ting Tong, Skuad Pasar Malam dan Puteri Malam.

Menerusi slot 9X yang menjadi pilihan golongan muda, para penonton akan disajikan program baru Dram Sisters dan Fuzz Food.

Untuk penjenamaan slot Raudhah yang lebih moden turut ditampilkan program Rasul Yang Kata, Zayiinul Quran dan Hijab Fashionista.

Artikel Lain