suria

Najwa Latif Tidak Tumpang Populariti Sleeq

Najwa memberitahu tidak menumpang populariti Sleeq untuk dikenali di Singapura.
Najwa memberitahu tidak menumpang populariti Sleeq untuk dikenali di Singapura.
Najwa memberitahu tidak menumpang populariti Sleeq untuk dikenali di Singapura.

SHAH ALAM: Penyanyi remaja, Najwa Latif tidak melihat gandingannya bersama Sleeq adalah sebagai menumpang populariti kumpulan itu untuk mencipta nama di Singapura.

Najwa, 17 sebaliknya berkata gabungan itu adalah sesuatu yang positif dan baik untuk kedua-dua belah pihak membina nama sebagai penyanyi.

"Saya tidak rasa menumpang populariti Sleeq atau sebaliknya kerana kolaborasi di antara kami adalah sesuatu yang positif dan senang bekerja dengan mereka.

"Isu seperti itu tidak timbul kerana baik saya mahupun Sleeq bekerja keras untuk membina nama di dalam industri ini," jelasnya ketika ditemui pada pertandingan akhir MasterChef Malaysia musim kedua dekat sini pada Sabtu lalu.

Malah kata Najwa, mereka sekali lagi berduet menerusi lagu terbarunya berjudul Sahabat sebagai tanda sokongan antara satu sama lain dan keserasian yang terbina di antara mereka selepas popular dengan lagu Untuk Dia.

Dalam pada itu, Najwa memberitahu mengambil keputusan untuk berpindah ke Kuala Lumpur selepas tamat menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu.

Najwa berkata, keputusan itu diambil bagi memudahkan pergerakan kerjayanya dan memenuhi undangan persembahan yang kebanyakannya di Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah peperiksaan sudah selesai dan dapat jawab dengan baik walaupun subjek Biologi dan Matematik Tambahan agak susah dan kini saya sudah sedia untuk kembali merencanakan kerjaya saya selepas beberapa bulan menumpukan kepada pelajaran.

"Keputusan berpindah ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama kakak adalah kerana ingin memudahkan perjalanan karier saya dan mungkin selepas keputusan SPM keluar ia akan berubah," ujarnya.

Sementara itu, Najwa memberitahu teruja untuk mengadakan persembahan istimwewa dihadapan peminat di Singapura pada 21 Disember ini dalam sebuah konsert Najwa Latif Live in Singapore di The Joyden Hall Bugis.

Najwa berkata, dia juga sedikit gementar kerana pertama kali menjejakkan kaki ke Singapura dan berharap konsert sulungnya itu akan berjalan dengan baik.

"Pada mulanya saya ingat ia adalah konsert tanpa menggunakan tiket tetapi rupa-rupanya persembahan berbayar dan ia satu penghormatan besar buat diri saya sebagai penyanyi dan pada masa sama tekanan kerana perlu membuat persediaan yang rapi supaya peminat yang hadir tidak kecewa.

"Ini adalah peluang terbaik buat saya untuk bergerak aktif dan memperluaskan kerjaya saya dalam dunia seni muzik. Ia adalah platform untuk mendekati semua peminat di singapura," jelasnya.

Pada konsert itu nanti kumpulan Iamneeta dan sebuah kumpulan daripada Singapura iaitu Aryan Band turut dijemput sebagai artis pembukaan.

Najwa juga memberitahu dia bersyukur kerana rezekinya semakin bertambah dan jadualnya semakin pada dengan pelbagai undangan nyanyian.

"Alhamdulillah rezeki semakin bertambah dan ini membuatkan saya semakin bersemangat untuk terus melebarkan kerjaya dan menghasilkan lagu-lagu yang lebih baik untuk peminat," katanya.

Kata penyanyi lagu Cinta Muka Buku ini, dia merancang untuk menghasilkan album terbaru pada tahun hadapan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain