suria

Hugh Jackman Dinobatkan ‘Hollywood Walk of Fame’

Hugh Jackman bergambar bersama plak bintang Hollywood Walk of Fame yang diterimanya pada Khamis (waktu tempatan). - Foto EPA
Hugh Jackman bergambar bersama plak bintang Hollywood Walk of Fame yang diterimanya pada Khamis (waktu tempatan). - Foto EPA
Hugh Jackman bergambar bersama plak bintang Hollywood Walk of Fame yang diterimanya pada Khamis (waktu tempatan). - Foto EPA

LOS ANGELES: Aktor Hollywood Hugh Jackman dinobatkan pingat Hollywood Walk of Fame di sini pada Khamis (waktu tempatan).

Pelakon berusia 44 tahun itu berkata dalam nada bergurau, dia akan menggunakan plak yang didambakan semua karyawan seni itu sebagai bentuk ‘terapi’ untuk dua anaknya iaitu Oscar, 12, dan Ava, 7, pada masa akan datang.

“Bayangkan dalam tempoh 10 tahun akan datang apabila mereka (anak-anak) mengingati semula segala kesalahan saya lakukan, pingat ini akan menjadi ‘terapi’ buat mereka.

“Mereka boleh datang ke sini (plak Walk of Fame) dan menghasilkan grafiti atau menuang air soda sekali pun ke atas pingat ini,” katanya seperti dipetik laman E! Online.

Pada majlis itu, Jackman ditemani anak-anak, isteri Deborra-Lee Furness dan dua rakan pelakon filem terbarunya berjudul Les Miserables iaitu Anne Hathaway dan Amanda Seyfried.

Pada hari yang sama, Jackman yang turut dimaklumkan namanya tercalon pada anugerah Golden Globe 2013 bagi Pelakon Lelaki Terbaik di Dalam Filem Muzikal atau Komedi menerusi Les Miserables.

Justeru itu, aktor yang berasal dari Australia itu berkata, dia berhasrat untuk membeli loteri selepas penganugerahan Hollywood Walk of Fame itu kerana menganggap ia hari paling bertuah dalam hidupnya.

Secara kebetulan, plak anugerah itu dilekatkan di atas laluan yang berhampiran dengan kedudukan patung lilin karakter popular lakonannya Wolverine di muzium lilin Madame Tussauds Hollywood.

“Saya seperti bermimpi pada hari ini. Pasti saya akan sentiasa mengingati hari ini Khamis, 13 Disember 2012.

“Mungkin selepas acara ini saya akan terus membeli loteri atau menuju ke kasino kerana ia adalah hari yang bertuah,” katanya dalam nada teruja.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain