suria

Zarul (Umbrella) Tidak Akan Tinggalkan Kerjaya Pramugara

Zarul yakin kerjayanya sebagai pramugara dan penyanyi dapat bergerak seiringan jika bijak membahagikan masa.
Zarul yakin kerjayanya sebagai pramugara dan penyanyi dapat bergerak seiringan jika bijak membahagikan masa.
Zarul yakin kerjayanya sebagai pramugara dan penyanyi dapat bergerak seiringan jika bijak membahagikan masa.

PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Umbrella iaitu Zarul tidak berhasrat meninggalkan kerjayanya sebagai pramugara Malaysia Airlines System Berhad (MAS) walaupun dia berhasrat untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.

Zarul atau nama sebenarnya, Zairulkefli Husin, 40, berkata, dia selesa dengan tugas yang dipikulnya selama 13 tahun itu dan melihat kemunculan semula dalam bidang nyanyian tidak akan menggagu kerjayanya tersebut.

"Saya yakin kerjaya sebagai pramugara dan nyanyian dapat bergerak seiringan kerana apa yang penting pembahagian masa perlu dibuat dengan bijak.

"Tambahan pula jika ada persembahan atau aktiviti berkaitan rakaman, saya boleh merancang cuti supaya tidak bercanggah dengan jadual kerja," jelasnya kepada mStar Online.

Zarul baru sahaja muncul dengan lagu solo terbarunya berjudul Penyesalan ciptaan Amir Ukays yang turut dijadikan lagu runut bunyi filem Kerat 14 lakonan Aaron Aziz dan Siti Saleha.

Dalam pada itu, Zarul berkata, selain bakal tampil dengan album solo pada pertengahan tahun ini, dia juga sedang merancang untuk merakamkan sebuah album terbaharu bersama kumpulan Umbrella.

Jelas Zarul, permintaan peminat yang rindukan kemunculan mereka telah memberikan idea tersebut dan berharap projek berkenaan akan terlaksana secepat mungkin.

"Bagi album solo, saya akan membuat kelainan bersesuaian dengan cita rasa pendengar masa kini manakala bagi album Umbrella kita akan kekalkan konsep dulu dengan beberapa penambahbaikan supaya ia kedengaran segar.

"Buat masa ini dua projek itu masih lagi di peringkat pemilihan lagu kerana ia amat penting bagi memastikan produk yang dikeluarkan nanti dapat diterima ramai," katanya.

Sementara itu, Zarul berkata, sokongan keluarga dan peminat telah membuatkannya bersemangat untuk kembali sebagai penyanyi walaupun hampir 15 tahun meninggalkan bidang itu.

Jelas Zarul, walaupun sibuk dengan kerjayanya sebagai pramugara namun sepanjang tempoh itu dia ada menerima tawaran persembahan untuk majlis-majlis korporat dan tertutup.

"Ke mana saya pergi orang sering bertanya bila lagi nak kembali sebagai penyanyi dan sokongan keluarga dan peminat telah membuatkan saya bersemangat," katanya.

Zarul bersama kumpulannya pernah popular dengan lagu seperti Ramalanku Benar Belaka, Bukalah Hatimu dan Cuci selain pernah menghasilkan dua buah album iaitu Seribu Rahmat (1994) dan Hujan Panas (1997).

Artikel Berikut

Artikel Lain