suria

Zed Zaidi Sangkal Diboikot Kerana Kelantangan Bersuara

Zed memberitahu masih menerima tawaran berlakon namun terpaksa menolak kerana kesibukannya dengan pelbagai aktiviti Seniman.
Zed memberitahu masih menerima tawaran berlakon namun terpaksa menolak kerana kesibukannya dengan pelbagai aktiviti Seniman.
Zed memberitahu masih menerima tawaran berlakon namun terpaksa menolak kerana kesibukannya dengan pelbagai aktiviti Seniman.

PETALING JAYA: Pelakon dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi menyangkal dakwaan diboikot oleh pengarah dan penerbit sehingga tidak menerima sebarang tawaran lakonan ekoran kelantangannya bersuara mengenai isu kemasukan artis luar ke negara ini.

Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33, sebaliknya berkata, beliau masih lagi menerima banyak tawaran berlakon namun kesuntukan masa sebagai presiden persatuan itu telah membataskan aktiviti seninya.

"Saya tidak diboikot oleh mana-mana pengarah atau penerbit kerana tawaran masih ada cuma saya yang menolak kerana kekangan masa menguruskan pelbagai aktiviti Seniman.

"Kebanyakan tawaran yang diterima tidak dapat mengikut jadual saya yang sentiasa padat dan kerana tidak mahu menyusahkan pihak lain saya terpaksa menolak," jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis Aqiqah dan cukur jambul anak sulungnya dekat sini pada Ahad.

Tambah Zed, beliau merancang untuk kembali aktif berlakon selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dan kini sedang sibuk dengan aktiviti persatuan dan kempen PRU-13.

"Tahun ini memang saya aktif berpolitik kerana tidak ramai golongan muda yang menonjol dan sebagai generasi baru adalah menjadi tanggungjawab saya untuk bersama-sama berjuang pada pilihan raya nanti," ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kelantangannya bersuara demi mempertahankan hak artis dan industri hiburan tempatan, Zed berkata, beliau perlu berbuat demikian bagi memastikan isu yang dibangkitkannya menjadi perhatian.

"Saya tidak kisah dihentam oleh sesetengah pihak kerana jika itu tidak berlaku maka ia bukanlah perjuangan dan sebagai pemimpin kita harus lantang dengan pendirian kita barulah orang lain akan memberi perhatian tentang sesuatu perkara itu.

"Kalau bercakap dengan lembut tidak ada orang akan beri perhatian terhadap sesuatu isu itu," jelasnya.

Tambah Zed, kelantangannya itu juga bukanlah sekadar cakap-cakap kosong kerana beliau sentiasa memastikan sebelum berkata sesuatu ia tidak bercanggah dengan undang-undang.

"Saya akan memastikan setiap perkara yang dibangkitkan disokong oleh fakta dan undang-undang dan sebab itu saya berani bersuara. Semua yang saya buat semata-mata demi mempertahankan industri seni kita," jelasnya.

Sementara itu, Zed memberitahu majlis aqiqah dan cukur jambul anaknya, Ryyan Ziqry, enam bulan, lewat diadakan berikutan kesibukannya dengan pelbagai tugas sebagai presiden Seniman namun bersyukur ia telah berjalan dengan lancar.

Menurut Zed, isterinya, Natalia Mustafa Kamal, 30, telah bertungkus lumus untuk menjayakan majlis yang diadakan di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar di sini.

"Alhamdulillah semuanya telah selamat dengan majlis dihadiri oleh semua ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan. Walaupun sedikit lewat tetapi ia tetap diadakan bagi meraikan anak sulung kami.

Tambah Zed, walaupun sibuk beliau tetap memastikan setiap hari akan bermanja dengan anaknya itu kerana percaya hubungan anak dan bapa perlu dipupuk sejak kecil.

"Sesibuk mana pun saya dengan pelbagai aktiviti saya akan memastikan meluangkan masa bersama Ryyan setiap hari dan perkara itu tidak pernah saya abaikan," jelasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain