Zain dan Rozita akan bersaing dalam MasterChef Selebriti 2. Foto SAMUEL ONGPETALING JAYA: Pasangan selebriti Zain Saidin dan Rozita Che Wan tidak menganggap tawaran yang diberikan oleh pihak Astro Ria menyertai program pertandingan realiti MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua sebagai mahu mengeksploitasikan kisah percintaan mereka pada umum.Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin, 29, berkata, dia percaya pemilihan kedua-dua mereka disebabkan oleh kepakaran masak yang tersendiri dalam pertandingan program tersebut. "Saya tak rasa mereka mahu mengeksploitasikan percintaan kami dalam MasterChef Selebriti 2. Lagipun kami bukannya masak bersama-sama sebaliknya bersaing untuk menang dengan 17 artis lain."Malah kami juga tidak memaparkan kemesraan kami pada umum. Jadi tiada apa-apa yang perlu di risaukan."Apa yang saya risaukan adalah, dia (Rozita) sangat hebat dalam masakan, manakala saya kurang sedikit, hanya pakar dalam masakan 'pasta' sahaja," katanya. Dalam pada itu, Rozita pula berkata, walaupun 'berperang' di dapur mengejar masa bagi setiap cabaran memasak yang diberikan, dia tetap akan tampil berimej elegan dalam program itu."Walaupun memasak di dapur, ia tidak menghalang saya untuk melaram. Macam mana anda melihat saya pada acara majlis, macam itulah penampilan saya dalam MasterChef Selebriti 2."Sebagai wanita, kita mesti menjaga penampilan tak kira waktu. Takkanlah kita nak selekeh ketika memasak?"Kalau masak pakai comot-comot, suami pun tak lalu makan. Solekan pada wajah saya pun tak luntur ketika masak. Tak adalah pula bulu mata terjatuh dalam rendang," selorohnya.Antara barisan peserta yang menyertai MasterChef Selebriti 2 ialah Sharifah Shahora, Kenchana Devi, Radhi OAG, Syanie Hisham, Aliza Abdullah (Enot), Lydiawati, Keroz Nazri, Syura, Sabhi Saddi, Michael Ang, Datuk Aznil Nawawi, Zain Saidin dan Rozita Che Wan.MasterChef Selebriti 2 akan bersiaran setiap hari Sabtu hingga Selasa pukul 9 malam bermula 20 April ini menerusi saluran Astro Ria (Saluran 104).