Aziz SattarKUALA LUMPUR: Pelakon Datuk Aziz Sattar kecewa apabila ada pihak yang mempertikaikan pelantikannya sebagai Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran (PKAV) dan tidak kisah sekiranya ada pihak yang mahu merampas jawatannya itu.Aziz yang sebelum ini yang memegang jawatan sebagai timbalan persatuan itu berkata, dia dilantik sebagai selepas penyandangnya, Datuk Ismail Hutson meninggal dunia pada Julai lalu. "Apa yang saya lakukan sekarang ini (sebagai Presiden PKAV), saya buat dengan ikhlas. Ini semua adalah kerja sambilan tanpa meminta dibayar."Jika ada yang ingin mengambil alih, ambillah. Saya tidak kisah jika jawatan presiden ini dirampas. Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan."Saya tahu, ada yang keluar daripada komuniti ini kerana tidak berpuas hati dengan pelantikan saya kerana saya menunda tarikh Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke Oktober depan yang mana ia sepatutnya berlangsung pada Mac lalu," katanya.Aziz ditemui pada sidang media Ziarah Syukur Ke Kedah anjuran PKAV di restoran Riverside, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad.Tambah pelakon itu, sepanjang bergelar presiden PKAV, dia sedaya upaya cuba menambah dana persatuan itu agar dapat membantu mana-mana artis yang memerlukan, tetapi tidak sangka dirinya tidak disukai sesetengah pihak.Sementara itu, mengenai program Ziarah Syukur Ke Kedah, seramai 10 artis veteran akan terlibat membantu Barisan Nasional berkempen sempena dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei depan.Selain Aziz sendiri, program itu akan turut disertai Datuk Mustafa Maarof, Norlia Ghani, Shira Iskandar, Aznah Hamid, AR Badul, Kismah Johar dan Hail Amir.Mereka akan membantu pihak kerajaan berkempen di empat lokasi di negeri Kedah iaitu Kuala Nerang, Kulim, Alor Merah dan Pendang bermula 23 April hingga 27 April ini."Kami akan membuat beberapa aktiviti bersama penduduk kampung di sana termasuklah menjayakan forum Bicara Seni dan menziarahi beberapa rumah kebajikan di sana."Sebagai seorang rakyat yang pernah melalui sejarah-sejarah negara ketika susah, saya mahu para penduduk menghayati dan bersyukur dengan apa yang kita sudah ada sekarang ini, selain melihatkan pelbagai pembangunan negara yang dijalankan oleh pihak kerajaan demi keselesaan rakyat."Mungkin kehadiran kami akan disambut baik, tetapi kami juga bersedia mengambil risiko sekiranya ada pihak yang mahu kami beredar. Insya-Allah segala perancangan akan berjalan dengan lancar," ujarnya.Program Ziarah Syukur Ke Kedah turut dianjurkan bersama oleh Datuk Seri Zaienal Abidin Omar.