suria

Fauziah Latiff Kurang Senang Gambar Anak-Anak Tersebar

Fauziah Latiff
Fauziah Latiff
Fauziah Latiff

PETALING JAYA: Penyanyi Fauziah Latiff melahirkan rasa kurang senang apabila foto dua orang anaknya iaitu Jeffri Joaquim Indot, 14, dan Jeremy Jay Indot, 12 bersama bapa mereka, Johan Indot yang juga bekas suaminya disebarkan di Internet.

Fauziah, 43, atau lebih mesra dengan panggilan Jee berkata, walaupun ia hanyalah foto biasa, namun ia sedikit sebanyak boleh memberikan kesan kepada kehidupan kedua-dua anaknya itu.

"Rasa macam tak seronok pula apabila foto mereka disebarkan. Saya lebih senang jika kehidupan mereka tidak diuar-uarkan.

"Foto tersebut bukannya untuk tatapan umum. Kalau boleh saya tak mahu hal peribadi mereka menjadi bualan. Risaulah, apa kata teman-teman mereka di sekolah nanti," katanya.

Fauziah ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai duta produk kesihatan Polleney di Hotel Royale Bintang Damansara, di sini, pada pagi Selasa.

Tambah Fauziah, dia enggan privasi anak-anaknya didedahkan kerana mahu mereka melalui kehidupan yang normal seperti remaja-remaja lain.

Dalam pada itu, ditanya pula mengenai kehidupan peribadinya, Fauziah berkata, dia selesa dengan kehidupan solonya selepas bercerai dengan membesarkan anak-anak.

"Saya tidak mencari (calon suami) tetapi bersifat terbuka dalam menjalinkan hubungan. Cuma buat masa ini saya selesa hidup solo bersama-sama anak-anak," tuturnya.

Sementara itu, selepas beberapa bulan berehat daripada bidang lakonan, Fauziah kini sibuk di lokasi penggambaran sekitar ibu kota membintangi drama Roda-Roda Kuala Lumpur (KL) terbitan Skop Productions.

Kata Fauziah, dia gembira apabila membintangi drama tersebut lebih-lebih lagi ditawarkan berlakon sebagai inspektor polis.

"Watak inspektor adalah antara watak yang saya idamkan kerana ia mempunyai ketegasan dan lasak dalam menjiwainya.

"Dari segi melakukan aktiviti lasak, tiada masalah buat saya tetapi untuk membawa motor polis agak mencabar, kerana ianya berat dan babak membawa motor ada kalanya perlu dilakukan berulang kali," ujarnya.

Mengenai tanggungjawab barunya sebagai duta Polleney, Fauziah bersyukur kerana diberi peluang buat kali kedua sebagai duta produk kesihatan tersebut.

"Sebelum ini saya pernah menjadi duta Polleney ketika berusia 18 tahun. Tidak sangka pula mereka menawarkan sekali lagi sebagai duta mereka.

"Lagipun saya percaya produk ini adalah sejenis pati ikan haruan dan mempunyai zat yang sangat tinggi buat tubuh kita terutamanya dalam menyembuhkan luka dalam badan.

"Malah ia juga membuatkan wajah seseorang kekal awet muda," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain