Azam PittKUALA LUMPUR: Pelakon Azam Pitt mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan dengan teman wanita yang dikenalinya sejak tujuh tahun lalu pada 3 November depan.Azam, 27, berkata, dia mengambil keputusan itu kerana sudah bersedia untuk berumah tangga selain yakin wanita berkenaan adalah pilihannya yang tepat. "Kami sudah bercinta selama tujuh tahun dan sudah tiba masanya hubungan kami melangkah ke tahap seterusnya."Dia juga sangat memahami saya dan sentiasa menyokong saya semasa susah dan senang. Dia adalah pelengkap hidup saya," katanya kepada mStar Online selepas ditemui pada majlis pra tonton dan sidang media drama Cahaya Cinta dan Langit Yang Sama di Angkasapuri, di sini pada Rabu.Azam memberitahu majlis pertunangan itu bakal berlangsung di kediaman keluarga wanita berusia 24 tahun itu di Kota Samarahan, Sarawak.Dalam perkembangan sama, Azam menolak tanggapan dia ingin bertunang kerana mahu menutup gosip yang mengatakan dirinya seorang gay.Jelas Azam, dia tidak perlu membuktikan apa-apa kepada orang lain kerana apa yang lebih penting bakal tunang dan keluarga kedua-dua belah pihak tahu niat baik mereka."Perkahwinan bukan perkara main-main yang boleh dipersendakan dan jujurnya saya tidak pernah berfikir tentang tohmahan itu kerana saya lebih mengenali siapa diri saya," jelasnya.Bagaimanapun Azam tidak menafikan gosip berkenaan pernah membuatkan berlakunya salah faham di antara mereka."Kami sudah bercinta sebelum saya bergelar artis lagi dan apabila gosip sedemikian timbul sudah tentu dia susah hati."Namun saya kagumi sifatnya yang tidak cepat mudah melatah dan menerima penjelasan saya tentang khabar angin itu," tuturnya.Sementara itu, Azam tidak menafikan gosip berkenaan telah memberikan kesan buruk kepada kerjayanya apabila tawaran berlakon dari stesen televisyen swasta semakin berkurangan.Bagaimanapun kata Azam, itu tidak melemahkan semangatnya untuk terus tabah dan mengejar cita-citanya dalam bidang lakonan.Dalam perkembangan lain, Azam berkata selain bakal muncul dengan drama Cahaya Cinta, dia juga baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Ana Aku Aiman, Tika Kau Tiada dan Khilaf Kelmarin untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM).Drama Cahaya Cinta dan Langit Yang Sama diterbitkan bersempena Hari Malaysia pada 16 September ini.Cahaya Cinta akan disiarkan pada pukul 2 petang di TV1 manakala Langit Yang Sama pada pukul 3.30 petang di TV2.