Didie AliasKUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Didie Alias masih tidak dapat mempercayai kejayaan yang diperolehnya sejak kembali aktif dalam bidang hiburan kira-kira tujuh tahun lalu.Didie, 40, berkata, dia tidak pernah menyangka semua usahanya membuahkan hasil walaupun kerjayanya pernah malap suatu ketika dahulu termasuklah hanya layak memegang peranan sebagai orang gaji dalam drama. "Sehingga ke hari ini saya tidak pernah menyangka kehidupan saya berubah kerana saya sangka saya sudah tiada peluang lagi untuk kembali dalam bidang seni."Syukur rezeki saya sentiasa murah kerana sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan membuatkan saya sentiasa bersemangat," katanya kepada mStar Online.Didie ditemui pada majlis pelancaran butik fesyen dalam talian miliknya iaitu Hitham di The Pool di sini, Khamis.Antara artis yang hadir ialah Lisdawati, Fauzi Nawawi, ShahIskandar, Raja Ema dan Dazrin.Dalam perkembangan sama, Didie berkata, anak-anaknya adalah tunjang utama dalam kejayaannya dan segala perkara yang dilakukan adalah untuk mereka.Jelas Didie, tanpa anak-anaknya dia tidak mungkin berada pada tahap sekarang."Hidup kami pernah susah dan apa yang saya usahakan adalah semata-mata untuk mereka dan tanpa mereka semua ini tidak akan terjadi," katanya.Tambah Didie, kejayaannya tidak datang bergolek sebaliknya atas usaha keras tanpa kenal putus asa."Sekadar angan-angan tidak membawa anda ke mana-mana tetapi dengan usaha keras Insya-Allah akan mendatangkan hasil."Kepercayaan yang diberikan oleh orang lain juga perlu dijaga dengan baik selain jangan menipu orang lain," jelasnya.Dalam pada itu, Didie berkata, idea untuk muncul dengan perniagaan butik menerusi dalam talian timbul kira-kira dua minggu lalu selepas melihat potensi pembelian menerusi Internet amat baik.Kata Didie, dia turut bergabung dengan dua rakan kongsi iaitu pereka fesyen Farel Mikhael dan Rinz Basha dalam usaha menjadikan jenama Hitham sebagai hab fesyen dalam talian terkemuka."Dunia fesyen sudah tiada sempadan dan kemajuan teknologi harus digunakan dengan sebaik-baiknya dan itu yang sedang saya lakukan untuk Hitham."Pakaian yang dijual di laman web kami adalah terhad dan direka sendiri oleh saya, Farel dan Rinz malah harga pakaian yang kami jual serendah RM60,'' katanya.Tambah Didie, Hitham tidak terhad kepada sesuatu gaya sahaja tetapi akan tampil dengan pelbagai rekaan untuk semua."Menariknya semua koleksi kami adalah berasaskan warna hitam kerana ia mudah dipadankan dan sebagai pelengkap gaya," katanya yang turut melancarkan laman web butik berkenaan iaitu www.hitham4u.com.