Elfira tiada masalah sering digandingkan dengan pelakon Indonesia. PETALING JAYA: Pelakon Elfira Loy tidak berasa bosan apabila sering kali digandingkan dengan aktor daripada Indonesia dalam beberapa drama lakonannya.Elfira, 19, berkata, tiada sebarang sebab untuk dia berasa demikian kerana dia hanya menjalankan tanggungjawabnya untuk menjayakan watak diberikan oleh pengarah. "Saya sentiasa senang dapat bekerjasama dengan para pelakon Indonesia dan walaupun sering digandingkan dengan mereka saya tidak pernah berasa bosan kerana itu adalah kerja saya sebagai pelakon," katanya kepada mStar Online.Malah kata Elfira, dia berasa bertuah kerana pelakon seperti Randy Panggalila dan Baim Wong adalah aktor terkenal di Indonesia dan bukan semua dapat merasai peluang tersebut.Dalam perkembangan sama, Elfira berkata, dia juga banyak mempelajari teknik lakonan daripada Randy dan Baim yang disifatkan sebagai aktor yang sangat komited ketika berada di set penggambaran.Jelasnya lagi, walaupun pengalaman berlakon dalam sinetron di Indonesia dan populariti mereka sangat besar di sana tetapi kedua-dua aktor itu sungguh merendah diri dan tidak lokek ilmu."Mereka sudah terbiasa menjalani penggambaran sinetron beratus-ratus episod dan komitmen mereka ketika penggambaran adalah luar biasa."Perkara seperti ini yang saya contohi dan mereka tidak lokek ilmu tentang dunia lakonan," katanya.Bagaimanapun kata Elfira, jika diberi peluang dia ingin bergandingan dengan aktor Remy Ishak dalam projeknya akan datang."Tidak kira watak sebagai kekasih atau adik saya ingin berlakon dengan Remy kerana dia seorang pelakon yang sangat berkaliber dan berbakat besar," ujarnya.Sementara itu, Elfira berkata, dia juga tidak pernah mengambil serius apabila sering digosipkan dengan Randy dan terbaharu dia dikatakan sedang bercinta dengan Baim.Jelas Elfira, gosip berkenaan dianggap sebagai perkara biasa untuk pelakon sepertinya tambahan pula mereka sering bergandingan dalam drama yang sama."Saya tidak pernah ambil pusing pun kerana cerita yang keluar mengaitkan saya dengan mereka adalah tidak benar sama sekali," katanya.