suria

'Hanya Risik, Tiada Majlis Bertunang' - Almy Nadia

Almy Nadia dan Fizz Fairuz
Almy Nadia dan Fizz Fairuz
Almy Nadia dan Fizz Fairuz

PETALING JAYA: Keluarga kepada Almy Nadia tiada masalah untuk menerima pelakon Fizz Fairuz yang berhasrat melamar wanita itu minggu hadapan walaupun sebelum ini Fizz pernah melalui kontroversi putus tunang dengan isteri orang.

Almy Nadia atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, berkata, ibunya Roshida Hashim, 45, juga sudah bersedia menanti rombongan keluarga Fizz dari Pahang ke kediaman mereka di Balik Pulau, Pulau Pinang.

“Keluarga akan terima Fizz... mereka tak ada masalah dalam hal itu. Insya-Allah, majlis merisik ini akan diadakan pada minggu hadapan. Tarikhnya... biarlah Fizz sendiri yang beritahu. Biar keluar daripada mulutnya,” kata Almy ketika dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.

Almy berkata, menurut perancangan awal hanya majlis merisik sahaja diadakan tanpa majlis pertunangan kerana bimbang pelbagai perkara tidak elok akan berlaku.

Almy memberitahu agak fobia dengan peristiwa lalu yang dialami oleh Fizz, 34, apabila dia bertunang dengan seorang wanita di Pahang yang rupa-rupanya isteri orang.

“Kalau boleh kami tak mahu bertunang walaupun orang Melayu menganggap pertunangan itu sebagai adat yang perlu diikuti.

"Peristiwa yang lepas sebenarnya menjadi pengajaran. Almy takut sangat benda-benda macam tu,” ujarnya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Gadis Saza.

Kedua-dua pasangan itu dijadualkan akan mendirikan rumah tangga pada awal tahun hadapan.

Terdahulu, Fizz Fairuz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 34, pernah menimbulkan kontroversi apabila melangsungkan pertunangan secara rahsia dengan seorang wanita di Kuantan, Pahang pada 10 Februari lalu.

Bagaimanapun pertunangan itu menjadi kecoh apabila seorang lelaki muncul dengan mendakwa wanita berusia 26 tahun itu adalah isterinya yang dinikahi di Thailand.

Artikel Lain