suria

Lapan Karya Menarik Dipentaskan Dalam Siri Semarak Bangsawan 2014

Antara barisan pengiat teater yang akan menjayakan 'Siri Semarak Bangsawan 2014'
PETALING JAYA: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menganjurkan Siri Semarak Bangsawan buat kali ke lapan bermula Mac ini.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, Siri Semarak Bangsawan 2014 akan menampilkan lapan buah karya menarik hasil garapan pengarah terkenal yang akan dipentaskan di Auditorium DBKL.

"JKKN tidak terlepas pandang terhadap bangsawan yang perlu dipertahankan untuk tatapan generasi akan datang. Setiap tahun kami akan menampilkan sembilan persembahan bangsawan buat penonton.

“Tahun ini Siri Semarak Bangsawan tampil dengan 8 persembahan. Ia juga diadakan sebagai produk sempena Tahun Melawat Malaysia 2014,” katanya dalam satu kenyataan kepada mStar Online.

Pementasan untuk Siri Semarak Bangswan akan berlangsung pada minggu kedua setiap bulan. 

Norliza berkata, segala hasil usaha pemuliharaan yang dibuat menampakkan hasil dengan adanya penambahan kumpulan bangsawan di seluruh negara.

“Dulu kita hanya ada Pak Murad (Kumpulan Bangsawan Seri Kedah) dan Seniman Negara Pak Rahman (Persatuan Bangsawan Bintang Timur). Dengan adanya Siri Semarak Bangsawan, kita dapat lihat banyak kumpulan lain tampil dengan pelbagai naskah menarik seperti Lela Manja, Bakawali dan Musang Berjanggut

“Kami juga bekerjasama dengan sektor pelancongan untuk membawa pelancong asing datang menonton. Justeru kami akan menyediakan skrin yang akan memaparkan sarikata dalam Bahasa Inggeris. 

"Adalah diharapkan kesinambungan Siri Semarak Bangsawan 2014 akan terus memartabatkan pementasan ini agar kekal sebagai satu bentuk seni yang membentuk budaya masyarakat Malaysia dan meningkatkan populariti bangsawan sebagai teater rakyat di kalangan masyarakat Malaysia," katanya.

Tirai persembahan akan dibuka dengan persembahan teater Bangsawan Kemala Sakti Kesuma Ningrat arahan Zack Zaideen dari Persatuan Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK) pada 14 Mac hingga 16 Mac. 

Kemudian diikuti dengan kumpulan Seri Bangsawan USM, Jula Juli Bintang Tujuh arahan Dr. Abd. Samat Salleh pada 11 hingga 13 April.

Disusuli dengan kumpulan Bangsawan Seri Kedah dengan Puteri Selindungan Bulan arahan Morad Ibrahim iaitu 9 hingga 11 Mei, Persatuan Teater Malaysia  dengan pementasan Bidasari arahan Rosli Rahman Adam pada 13 hingga 15 Jun.. 

Tirai pementasan akan ditutup oleh JKKN sendiri dengan pementasan teater bangsawan Sinbad oleh Rosnan Nordin pada 7 hingga 9 November depan.

Pas masuk berharga RM5 dan RM50 akan dikenakan untuk penonton, manakala hasil kutipan akan disumbangkan kepada tokoh-tokoh seni budaya yang sakit dan uzur.
JKKN, Teater, Siri Semarak Bangsawan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain