suria

David Teo Jadi Penyanyi, Rakam Lagu Rap

David Teo bakal keluar single pertama bersama Fida Ibrahim.
PETALING JAYA:  Penerbit filem Metrowealth International Group (MIG)  David Teo, melakukan percubaan berani apabila berganding dengan penyanyi Fida Ibrahim untuk projek terbaharunya bagi menghasilkan single lagu pertama berjudul Kacang.

Bagaimanapun, David yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif  MIG berkata, lagu mempunyai lirik membawa maksud seperti peribahasa Kacang Lupakan Kulit  itu tidak bertujuan untuk menyindir mana-mana pihak.

"Saya rasa ingin menyanyi selepas melihat AC Mizal berjaya menyanyikan lagu Apo Keno Eh Jang dengan baik dan diterima masyarakat. Saya hanya nyanyi bahagian rap sahaja seperti AC Mizal.

"Lagu ini ciptaan  Cat Farish dan ia menceritakan tentang perihal Kacang Lupakan Kulit, namun, saya tidak tujukan kepada sesiapa. Ia sebagai pengajaran kepada semua yang mendengar agar tidak jadi seperti maksud peribahasa ini," katanya kepada Mstar Online.

Tambah David, single pertama ini sudah siap dirakam dan kini dalam proses akhir sebelum ia diedar kepada stesen radio.

Katanya, ia merupakan sebuah projek serius yang ingin dipertandingkan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) akan datang.

"Saya buat ini bukan sebagai lagu tema filem atau ia sekadar suka-suka tetapi ia adalah satu projek yang serius dan kalau ia bernasib baik, harap-harap terpilih ke AIM tahun depan.

"Proses rakaman dah selesai dan hanya tinggal beberapa proses akhir sebelum ia dihantar ke stesen radio," katanya.

Sementara itu, kata David, pemilihan pelakon dan penyanyi Fida Ibrahim sebagai rakan duetnya disebabkan penyanyi itu mempunyai lenggok suara Melayu yang unik.

David juga dalam dalam proses menghafal lirik sebelum tampil menyanyikan lagu tersebut di hadapan khalayak pada majlis pelancarannya tidak lama lagi.


Ibu bapa Nina Iskandar Minta Kebenaran


Dalam perkembangan lain, ketika ditanya tentang pelakon baharu dibawah naungannya, Nina Iskandar yang bakal bertunang dengan seorang ushawan berasal dari Kelantan, David berkata, ibu bapa wanita itu sudah datang menemuinya bagi meminta kebenaran.

"Dia ada datang jumpa saya untuk beritahu sedang bercinta dan akan bertunang, tetapi saya minta ibu bapa dia sendiri datang untuk mengesahkan hal tersebut.

"Saya tidak ada halangan, saya mahu ibu bapa dia tahu perkara ini, kerana ketika dia ingin menyertai MIG dahulu ibu bapa dia datang beri persetujuan kepada saya," ujarnya.

Kata David, Nina merupakan artis MIG pertama yang tampil meminta persetujuan dan mengikut prosedur baharu yang ditetapkan oleh syarikat pengurusan itu.

Artikel Lain