PETALING JAYA: Pelakon Liyana Jasmay sudah membuat persiapan lengkap bagi menyambut kelahiran anak sulungnya yang dijangka pada Jun depan. Liyana, 23, berkata, dia juga sudah mempunyai bidan yang akan menjaganya sepanjang proses berpantang selepas bersalin nanti. "Alhamdulillah, saya dan kandungan sihat dan tiada sebarang masalah, Insya-Aallah saya akan melahirkan bayi ini pada Jun depan. "Selepas bersalin ada bidan yang akan jaga saya dan tinggal di rumah ini sehingga saya habis pantang. Saya juga tidak mahu keluar rumah ketika dalam pantang selama 44 hari. "Walaupun ada segelintir wanita bersalin yang tidak begitu ambil berat hal ini, namun saya menganggap ia sebagai sesuatu yang penting terutama untuk kesihatan masa akan datang," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu. Tambah Liyana, dalam proses pantang itu juga, dia akan berusaha mengembalikan semula berat badan asalnya sebelum tampil di khalayak. Sementara itu, Liyana berkata, dia akan mengadakan sebuah majlis doa selamat sempena menyambut kelahiran bayi pada Sabtu ini. Katanya, dalam majlis tersebut juga, dia bakal mendedahkan jantina anak yang di kandungnya itu. Sementara itu, katanya, suaminya Fathuddin Mazlan adalah insan yang paling teruja menanti kelahiran bayi mereka. "Suami saya paling teruja, dia paling sibuk membeli barang-barang bayi dan menghias bilik tersebut," katanya. Dalam pada itu, ditanya tentang perancangan keluarga selepas kelahiran anak sulungnya itu, Liyana berkata, dia hanya menyerahkan kepada Allah dan tidak pernah merancang apa-apa perkara. Bagaimanapun dia mahu bayi tersebut membesar dan mendapat kasih sayang secukupnya. "Saya tidak pernah ada perancangan keluarga, biar Allah yang tentukan rezeki itu. "Tetapi kalau boleh biar anak sulung ini besar sedikit sebelum dia dapat adik (kelahjiran kedua)," ujarnya. Liyana merancang untuk bersalin di Pusat Perubatan Prince Court, dekat sini.