KUALA LUMPUR: Pelakon kontroversi Hanez Suraya terpaksa menggunakan khidmat bodyguard (pengawal peribadi) bagi menjaga keselamatan ketika berada di majlis-majlis tertentu ekoran ugutan diterimanya berhubung kontroversi rampas suami orang. Hanez, 29, berkata, keluarga terlalu bimbang dengan keselamatannya terutama ketika berada di tempat umum yang terdedah kepada risiko. "Saya tidak mahu punyai pengawal peribadi tetapi keluarga yang memaksa saya untuk menggunakan khidmat pengawal peribadi kerana mereka takut dengan keselamatan saya di luar. "Lebih-lebih lagi selepas menerima pelbagai ugutan daripada individu-individu yang tidak dikenali di laman sosial," katanya kepada mStar Online pada sidang media teater Projek Kahwin, di Istana Budaya, di sini, Selasa. Hanez turut terlibat dalam teater Projek Kahwin yang akan dipentaskan pada 6 hingga 14 Jun depan di Panggung Sari, Istana Budaya. Terdahulu pihak Istana Budaya terpaksa meminta kerjasama polis untuk berada di pusat kebudayaan itu sepanjang teater berkenaan berlangsung kerana bimbang keselamatan Hanez ekoran terdapat ugutan terhadapnya. Hanez Suraya anggap ramai yang tidak faham situasi yang dilaluinya. Bagaimanapun, Hanez berkata, dia lebih selesa keluar rumah secara sendirian atau bersama teman lain berbanding diiringi pengawal peribadi. Katanya, setakat ini, belum ada lagi kejadian yang tidak diingini atau ugutan yang serius daripada mana-mana individu tidak dikenali. "Saya tidak gemar pengawal peribadi bersama saya. Jadi, hanya di tempat-tempat tertentu sahaja saya akan gunakan khidmat mereka iaitu ketika ahli keluarga atau teman tidak bersama,” katanya. Sementara itu, ditanya tentang reaksi beberapa selebriti tempatan yang turut membuat kenyataan negatif dan menyalahkannya dalam kontroversi rampas suami orang, Hanez menganggap mereka tidak tahu perkara sebenar. Dia juga tidak mahu terlalu mengambil serius perkara itu dan menganggap semua orang boleh memberi pendapat masing-masing. "Dia orang yang bercakap begitu atau menyebelahi pihak lain kerana tidak tahu hal yang sebenar. Terpulang kepada mereka untuk beri pendapat," katanya.