KUALA LUMPUR: Program realiti baharu terbitan Astro iaitu The Band yang bertujuan mencari kumpulan pop lelaki dan wanita bukan hanya mempertaruhkan rupa paras dan seksi semata-mata, sebaliknya lebih menumpukan kepada bakat nyanyian dan tarian peserta. Bagaimanapun, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, pihaknya mengakui seksi dan rupa paras antara yang dinilai sebagai pakej lengkap yang diperlukan untuk menubuhkan sebuah kumpulan pop agar ia boleh dibawa ke peringkat antarabangsa. "Dalam mana-mana bidang sekalipun rupa adalah pakej yang kita cari untuk dijadikan penghibur. "Namun begitu kita tetap menilai daripada sudut bakat nyanyian dan tarian yang mereka ada," katanya pada pelancaran program realiti The Band, di Kelab Loft, di sini, Rabu. Pada majlis pelancaran itu Astro turut memperkenalkan 32 peserta yang terdiri dari Malaysia, Singapura dan Indonesia. Program itu dijayakan dengan kerjasama kumpulan Sedania Sdn Bhd dalam merealisasikan impian mencari kumpulan pop terhebat. Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor, berkata, mereka sudah bersedia untuk menerima sebarang kritikan dan menganggap tahap seksi dalam tarian dan pemakaian mempunyai batasan. "Kami sudah bersedia untuk menerima kritikan kerana kita tidak boleh untuk puaskan hati semua orang. "Kami faham sensitiviti masyarakat Malaysia terhadap cara pemakaian dan tarian yang tidak boleh terlalu melampau, kita ada batasan tertentu. "Daripada segi pemakaian, tarian, bakat dalam satu pakej yang boleh dibawa ke peringkat antarabangsa," katanya. Dalam pada itu, tiga selebriti iaitu Datuk Aznil Nawawi, Yusry Abdul Halim dan Syafinaz Selamat dilantik menjadi juri tetap pada setiap minggu. Menerusi format The Band ini, seramai 32 peserta yang masing-masing 16 lelaki dan 16 wanita akan membuat persembahan secara berkumpulan dan ahli-ahli kumpulan akan bertukar ganti setiap minggu. Mereka akan dinilai secara individu dan hanya enam peserta bagi setiap kategori akan mengungguli pertandingan untuk menjadi pemenang. Juara The Band bakal memenangi wang tunai RM100,000 untuk setiap kumpulan dan kontrak sebagai artis bersama Astro serta tajaan pembikinan album kompilasi. Sementara itu, pengacara Awal Ashaari bertindak sebagai hos konsert The Band setiap minggu. Program itu akan bersiaran di Astro Ria (Saluran 104) dan Mustika HD (Saluran 134) bermula 7 April ini.