suria

Rozita Che Wan Tekankan Disiplin Untuk Lihat Anak Berjaya

Rozita bersyukur disiplin yang diterapkan dalam mendidik anak-anaknya mula menampakkan hasil yang baik.
PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan menjelaskan disiplin yang diterapkan dalam diri kedua-dua anak lelakinya iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra sejak kecil adalah rahsia bagaimana dia dapat menjadikan mereka sebagai individu yang cemerlang dalam pelajaran.

Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Cik Ta, 40, berkata, sejak mereka kecil dia akan memastikan anak-anaknya itu akan mematuhi jadual yang disediakan dan dia juga tidak pernah berkompromi dalam hal-hal berkaitan pelajaran mereka.

"Daripada kecil lagi saya memang buat jadual untuk mereka ikut dan saya sangat pentingkan disiplin sehingga pada satu tahap saya tidak perlu awasi mereka kerana sudah terbiasa dengan jadual yang saya sediakan.

"Alhamdulillah berkat kesabaran mendidik seperti itu,  ia mula menampakkan hasil dan saya sebagai ibu begitu berbangga dengan pencapaian mereka berdua," katanya kepada mStar Online.

Anak sulung Rozita iaitu Ammar Effendy, 18, baru-baru ini mendapat keputusan cemerlang iaitu 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada 20 Mac lalu.

Rozita memberitahu akan membelikan kereta yang diidamkan oleh Ammar sebagai hadiah kerana mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

Ammar bakal memulakan pengajian peringkat asas di Universiti Nottingham yang terletak di Semenyih dekat sini pada Mei ini dalam bidang perbankan.

Jelas Rozita, selepas menamatkan peringkat persediaan itu selama setahun baharulah Ammar akan berangkat ke England untuk menyambung pengajian peringkat seterusnya.

"Dia memilih bidang perbankan dan saya sebagai ibu menyokong apa sahaja keputusan yang dibuat kerana itu adalah minatnya," jelas Rozita.

Dalam pada itu, Rozita mengakui akan menghadiahkan sebuah kereta BMW X6 kepada Ammar seperti mana yang diinginkan oleh anak lelakinya itu.

Pembelian kereta mewah itu adalah sebagai hadiah kepada Ammar yang telah berusaha keras dalam pelajaran.

"Insya Allah saya akan belikan kereta yang diinginkan itu namun buat masa ini saya sedang menguruskan pembelian kereta saya dahulu memandangkan keluarga kami bakal bertambah besar," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan terbaharu  Rozita mengakui selera makannya semakin meningkat semenjak disahkan mengandung anak pertama bersama suaminya, Zain Saidin bulan lalu.

Rozita memberitahu setiap hari dia akan mengambil hidangan nasi sebanyak empat kali sehari berbanding sebelum ini hanya dua kali.

"Selera makan sejak mengandung begitu besar dan bayangkan setiap kali bangun tidur sahaja perkara pertama yang akan saya cari adalah nasi dan masakan kampung.

"Saya beruntung kerana ibu tinggal berdekatan dan dia sering memasakkan menu-menu yang membuka selera saya," katanya yang tidak mengalami sebarang alahan seperti mana wanita mengandung lain.

Anak-anak Rozita iaitu Aniq (kiri) dan Ammar. 

Jelas Rozita, dia juga turut mengamalkan pengambilan makanan sihat seperti susu, soya dan sup sarang burung bagi memastikan anak dalam kandungannya sihat.

"Saya tidak ingat apa perasaan menjadi seorang ibu mengandung  kerana sudah lama tidak hamil tetapi Alhamdulillah setakat ini segalanya berjalan lancar," katanya.

Rozita memberitahu dia dijangka bersalin pada pertengahan Oktober depan.

Dalam perkembangan lain, Rozita berkata, dia tidak lagi mengambil sebarang tawaran berlakon sehinggalah dia bersalin  dan hanya  menumpukan kepada rakaman program Primadona yang sudah memasuki musim ketiga.

Artikel Lain