PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon baharu Kilafairy enggan lagi menerima watak-watak gedik ataupun wanita penggoda dalam usaha meningkatkan lagi keupayaan kerjayanya sebagai seorang pelakon. Kilafairy atau nama sebenar Syakila Nisha Jangir Khan, 22, berkata, dia melihat kemampuannya harus diuji untuk melakonkan watak-watak berat dan lebih serius. "Saya enggan membawa watak-watak seperti penggoda, gedik dan seksi, kalau boleh biarlah watak yang berat dan mampu membuktikan bakat saya. Saya tidak mahu penonton melihat saya hanya sebagai perempuan seperti itu sahaja," katanya yang pernah berlakon dalam filem Karak. Dia juga akan hanya menerima tawaran yang benar-benar mampu mengangkat namanya sama ada dalam bidang lakonan atau nyanyian pada masa akan datang. "Saya senyap daripada industri bukan kerana tiada tawaran, sebaliknya sengaja mencari peluang lain yang benar-benar baik untuk kerjaya saya. "Biarlah kemunculan saya agak sedikit iaitu hanya boleh dikira dengan jari, asalkan watak yang diberikan memberi impak kepada penonton dan mampu mengangkat nama saya kepada industri, ia adalah memadai. Takkan nak bawa watak gedik sampai bila-bila," katanya kepada mStar Online. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Kila bakal terlibat dengan pementasan teater Projek Kahwin yang bakal berlangsung pada 6 hingga 14 Jun depan di Istana Budaya dekat sini. Dia juga bakal keluar dengan single kedua yang berentak Bollywood bersama penyanyi Aidil (AF).