AMPANG: Penyanyi Adam Ahmad, 50, yang popular era 1980-an dengan lagu Kau Pergi Jua selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Permai Ampang di sini sekitar pukul 11.30 pagi Khamis. Allahyarham meninggal dunia di Hospital Ampang dekat sini akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah jangkitan kuman pada paru-paru kira-kira pukul 12.15 malam Khamis. Gambar Adam Ahmad bersama isterinya Norliza. Sepanjang hayatnya, Allahyarham banyak mencipta lagu-lagu hit seperti Di Hari Persandingan Mu dan Di Pantai Cinta Berahi nyanyian Yunizar Hosein. Lagu Janji Manismu nyanyian Aishah dan ditulis oleh beliau pernah memenangi Anugerah Juara Lagu ke-5 pada tahun 1990 manakala lagu Teratai Layu Di Tasik Madu nyanyian Fauziah Latiff turut merebut gelaran yang sama pada 1993 (AJL ke 8). Beliau menamatkan zaman bujangnya pada 19 Disember 2010 ketika berusia 46 tahun dengan seorang janda beranak dua iaitu Norliza Ayat, 46. Jenazah sebelum itu dibawa pulang ke rumahnya di Taman Chempaka, Ampang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Permai di sini.