PUTRAJAYA: Kumpulan rock popular Wings bakal mengadakan konsert pertama secara akustik yang dikenali konsert ‘Wings Versi Tanpa Distortion’ yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada 8 Jun depan. Vokalisnya, Awie atau nama sebenar Ahmad Azhar Othman, 46, berkata konsert tersebut merupakan sejarah bagi kumpulan Wings apabila pertama kali beraksi dengan konsep retrospektif akustika. "Perbezaan konsert ini ialah kami tidak akan menggunakan elemen gitar elektrik seperti biasa. Transformasi muzik rock ke akustik ini akan menjadi tarikan utama, ia benar-benar bakal menguji kemampuan kami. "Kami juga akan membuat susunan semula lagu-lagu yang akan disampaikan dalam versi akustik dengan bantuan beberapa pemuzik undangan khas untuk konsert ini," katanya pada sidang media konsert itu PICC, di sini, Rabu. Sementara itu, tambah Awie, konsep akustik yang bakal dipersembahkan dalam konsert tersebut adalah bertujuan untuk menarik di kalangan peminat lama Wings yang sudah bekeluarga. Awie Katanya, ia juga bertepatan dengan lokasi konsert yang diadakan di Putrajaya lebih kepada kediaman untuk keluarga. "Konsep akustik ini sesuai dengan golongan berkeluarga dan peminat-peminat Wings dulu yang kini lebih meminati muzik santai," katanya. Dalam pada itu, Awie mengakui cabaran utama adalah daripada segi teknikal selain tanggung jawab itu adalah hak pihak penganjur. "Apa yang selalu merisaukan kami setiap kali persembahan ialah masalah teknikal kerana hal-hal berkenaan bukan kami yang uruskan. "Namun biasanya bagi mengelakkan perkara itu berlaku kami akan buat beberapa kali pemeriksaan secara teliti sebelum memulakan persembahan," katanya. Pada konsert tersebut, Wings akan membawakan sebanyak 18 buah lagu popular mereka termasuk beberapa lagu rock popular sekitar 80an dan 90an. Harga tiket menyaksikan persembahan ini dijual dengan harga RM99, RM149, RM199, RM249, dan RM299. Pembelian tiket secara dalam talian boleh dilakukan di www.ezitix.net.