suria

Ilham Lagu Terakhir Adam Ahmad Ketika Isteri Sedang Tidur

Norliza memberitahu arwah suaminya sempat mencipta sebuah lagu bertajuk Permaisuriku Ratu Hatiku khas buatnya.

AMPANG: Isteri kepada penyanyi dan komposer Adam Ahmad iaitu Norliza Ayat tidak menyangka lagu terakhir yang dicipta khas buatnya berjudul Permaisuriku Ratu Hatiku adalah petanda suaminya itu akan pergi buat selama-lamanya.

Norliza, 46, memberitahu, dia sangat terharu dengan tindakan suaminya itu yang mendapat ilham mencipta lagu berkenaan semasa melihat dia sedang nyenyak tidur beberapa bulan lalu.

"Terkesan hati saya apabila arwah memberitahu dia mencipta lagu tersebut untuk saya dan ia menjadi kenangan paling indah sebagai mengenang perhubungan kami suami-isteri.

"Saya begitu gembira suami hadiahkan saya sebuah lagu khas namun tidak menyangka itu adalah lagu terakhir daripadanya," katanya kepada mStar Online.

Norliza membeiritahu suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama lapan hari.

Permaisuriku Ratu Hatiku dirakamkan oleh seorang penyanyi baharu iaitu Haikal Othman.

Adam, 50, yang popular era 1980-an dengan lagu Kau Pergi Jua selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Permai Ampang di sini sekitar pukul 11.30 pagi Khamis.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Ampang akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah jangkitan kuman pada paru-paru kira-kira pukul 12.15 malam Khamis.

Dalam pada itu, Norliza berkata, suaminya dimasukkan ke hospital sejak 1 Mei lalu selepas doktor mengesahkan paru-parunya dijangkiti kuman sebelum dia tidak sedarkan diri pada keesokkan harinya.

Dia yang ketika itu berada di George Town, Pulau Pinang kerana menguruskan perniagaan restoran mereka bergegas pulang ke Kuala Lumpur sebelum dia diberitahu suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.


Album Rindu Menghempas Hati yang pernah dilancarkan pada tahun 1987.

"Arwah sebelum ini memang tidak mempunyai sebarang penyakit serius melainkan penyakit darah tinggi dan sering berulang alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur untuk membuat pemeriksaan di hospital berkenaan.

"Namun saya terkejut apabila diberitahu paru-parunya dijangkiti kuman sehingga dia tidak sedarkan diri dan terpaksa dimasukkan ke ICU selama lapan hari," katanya.

Bagaimanapun kata Norliza, keadaan suaminya bertambah baik dan ditempatkan di wad biasa pada 9 Mei lalu sehingga dia tiba-tiba tenat pada malam Rabu dan meninggal dunia.

"Selepas keluar ICU keadaannya semakin baik dan tidak membimbangkan malah sebelum dia meninggal dunia, dia minta saya belikan roti dan milo namun dia tidak sempat menjamah makanan tersebut kerana pihak hospital memberitahu dia tenat semasa saya dalam perjalanan ke hospital selepas membeli makanan yang diminta.

"Biarpun saya terkejut dengan pemergiaannya namun sebagai seorang Islam saya reda kerana dia seorang suami yang cukup baik hati dan penyayang," jelasnya.

Sementara itu, Norliza berkata, dia akan terus menetap di Pulau Pinang selepas ini bagi meneruskan perniagaan restoran mereka iaitu Adam Ahmad Cafe di negeri berkenaan.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Permai, Ampang sekitar pukul 11.30 pagi Khamis.

Jelas Norliza, perniagaan yang diusahakan mereka sejak beberapa tahun lalu itu adalah cetusan idea arwah dan ingin terus memajukan restoran tersebut.

"Selepas berkahwin kami memang menetap di Pulau Pinang dan kami sama-sama membangunkan restoran ini sejak beberapa tahun lalu.

"Arwah kalau datang ke restoran dia mesti akan makan Mi Hailam kerana itu adalah makanan kegemarannya," jelas Norliza.

Adam dan Norliza berkahwin pada 19 Disember 2010 dan mereka merupakan rakan sekolah.

adam ahmad 1
Adam Ahmad dan Norliza diapit oleh Mohd Radhi (kanan) dan Mohd Taqbir semasa perkahwinan mereka pada 2010.

Pasangan berkenaan tidak dikurniakan cahaya mata sebaliknya Norliza mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Mohd Radhi, 29, dan Mohd Taqbir, 21, hasil perkahwinan terdahulu.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham banyak menciptla lagu-lagu hit seperti  Di Hari Persandingan Mu dan  Di Pantai Cinta Berahi  nyanyian Yunizar Hosein.

Lagu Janji Manismu nyanyian Aishah dan ditulis oleh beliau pernah memenangi Anugerah Juara Lagu ke-5 pada tahun 1990 manakala lagu Teratai Layu Di Tasik Madu nyanyian Fauziah Latiff turut merebut gelaran yang sama pada 1993 (AJL ke 8).


Adam Ahmad, Kau Pergi Jua.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain