suria

"Saya Rasa Sakit Sangat" -Ifa Raziah

Ifa Raziah kini semakin stabil.
PETALING JAYA: "Saya rasa sakit sangat sekarang ini...," itulah kata-kata Ifa Raziah ketika dihubungi mStar Online pada Selasa bagi menggambarkan keadaanya selepas menjalani pembedahan membuang ketulan pada payudaranya yang dilakukan di Pusat Perubatan Beverly Willshire, Jalan Tun Razak dekat sini, pada Isnin.

Dalam perbualan singkat itu Ifa, 39, berkata, dia tidak dapat berborak panjang kerana keadaanya begitu lemah selain mahu memakan ubat.

Sementara itu suaminya Mohd Yani Abdul Rahman berkata, Ifa berada dalam keadaan stabil dan sudah sedar diri pada pukul 10 malam Isnin selepas menjalani pembedahan selama tujuh jam.

"Dia lebih baik sekarang dan sudah boleh bercakap, dia juga mengadu masih berasa sakit akibat pembedahan semalam (Isnin).

"Mungkin dalam empat hari dia akan mendapat rawatan di sini sebelum dibenarkan keluar," katanya.

Sebelum ini, pada tahun 2011, Ifa dijangkiti virus di bahagian payudara sehingga membuatkan payudaranya membengkak dan ada ketulan.

Dalam pada itu, Mohd Yani berkata, rawatan susulan akan terus dilakukan bagi memastikan ketumbuhan tersebut tidak wujud semula.

"Ketumbuhan tersebut dikesan pada tahun 2011 lagi tetapi doktor beritahu ia tidak bahaya dan boleh dibuang apabila ia besar.

"Pembedahan semalam adalah untuk buang ketumbuhan tersebut dan dalam masa yang sama memasukkan implan ke dalam payudara agar tidak kendur," katanya.

Sementara itu, Yani berkata, Ifa memilih bulan Ramadan bagi menjalani pembedahan tersebut memandangkan pada bulan ini aktiviti seni agak terbatas.

Ia juga membolehkan Ifa berehat panjang sebelum aktif semula melakukan persembahan.

"Kita buat bulan Ramadan kerana aktiviti seni tidak banyak dan membolehkan Ifa berehat panjang.

"Itu pun akhir Ramadan sudah ada beberapa tawaran persembahan di Singapura, tengok keadaan dia nanti bagaimana," katanya.

Artikel Lain