suria

Nora Danish & Nedim Belajar Kenali Keburukan

Pasangan ini mengakui sedang mengenali sikap dan sifat buruk masing-masing dalam mengukuhkan lagi hubungan cinta mereka. Foto IZZRAFIQ ALIAS.
KUALA LUMPUR: Pelakon Nora Danish mengakui dia dan kekasihnya, Nedim Nazri sedang belajar untuk menerima keburukan masing-masing dalam mengukuhkan lagi keserasaian hubungan mereka.

Nora, 32, berkata, fasa itu penting kerana mereka perlu menerima sikap buruk yang ada supaya ia tidak menimbulkan masalah lain sekiranya mereka berkahwin kelak.

"Dalam sesuatu perhubungan tidak cukup dengan menerima sifat dan sikap yang baik-baik sahaja mengenai pasangan kita tetapi perlu juga mengenali sikap buruk.

"Menerusi cara itu kami dapat mengukuhkan lagi keserasian apabila masing-masing dapat menerima sikap buruk dengan hati terbuka," katanya kepada mStar Online

Nora ditemui pada majlis berbuka puasa bersama AirAsia di Hotel Mandarin Oriental di sini pada malam Isnin lalu.

Dalam pada itu, Nora menafikan kononnya dia dan Nedim sedang melakukan persiapan perkahwinan seperti mana dilaporkan dalam beberapa blog.
Nadim dan Nora mahu majlis perkahwinan sederhana.

Bagaimanapun kata Nora, mereka ada bercakap mengenai soal perkahwinan dan masa depan namun ia sekadar perbualan biasa sahaja.

"Jangalah percaya dengan apa yang anda baca di blog kerana kami tidak ada apa-apa persiapan pun lagi tetapi ada laa kami bersembang mengenai masa depan. Itu pun sekadar perbualan biasa sahaja.

"Keluarga kami juga tidak mendesak untuk cepat-cepat kahwin dan harap-harap peminat mendoakan kebahagian kami," katanya. 

Sementara itu, bercakap mengenai majlis perkahwinan impiannya, Nora berkata, dia mengimpikan sebuah majlis perkahwinan ringkas dan sederhana memandangkan dia dan Nedim pernah melalui kegagalam dalam perkahwinan masing-masing sebelum ini.

Malah kata Nora, mereka mahu mendahulukan perkara wajib sahaja dan tidak mengimpikan sebuah perkahwinan mewah dan besar-besaran.

"Insya-Allah sekiranya kami bertemu jodoh saya mahu majlis yang ringkas sahaja kerana rasanya tidak perlu buat persiapan yang terlalu mewah kerana kami masing-masing pernah berkahwin sebelum ini," jelasnya.
Nora Danish, Nedim Nazri, Air Asia.

Artikel Lain