suria

Raja Azmi Impikan Hasrat Mahu Meninggal Dunia Seperti Sharifah Aini

Raja Azmi kini banyak mendekatkan diri dengan agama.
PETALING JAYA: Kematian biduanita negara Datuk Sharifah Aini menjadi inspirasi kepada penerbit filem sensasi Raja Azmi yang ingin meninggal dunia dalam keadaan tenang.

Sehubungan itu, Raja Azmi atau nama sebenarnya Raja Azmi Raja Sulaiman 55, mengambil tindakan membuang lebih 300 keping gambar-gambar lamanya tidak bertudung yang dimuat naik di laman Instagram.

"Selepas sembahyang subuh hati saya terdetik untuk membuang gambar-gambar lama yang tidak bertudung, saya rasa gambar-gambar itu tidak sesuai untuk dipertontonkan lagi kepada umum, kalau boleh saya mahu pergi seperti Allahyarham Sharifah Aini.

"Saya lihat pemergian Allahyarham Sharifah Aini Ahad lalu sangat tenang dan di dalam keadaan yang dia sudah bersedia untuk menemui tuhan. Allahyarham meninggal dalam bulan Ramadan dan Allah permudahkan segala urusan kematiannya, dia juga bertuah mendapat anak yang soleh," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Sharifah Aini meninggal dunia di Pusat Pakar Damansara di sini pada Sabtu lalu pada usia 61 tahun akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah fibrosis paru-paru.

Allahyarham Datuk Sharifah Aini meninggal dunia pada 5 Julai lalu.

Raja Azmi berkata demikian ketika diminta mengulas tentang status terbaharu di laman sosial tersebut yang mengakui tenang selepas membuang gambar-gambar lama tersebut.

Bagaimanapun, Raja Azmi berkata, dia tidak mempunyai halangan jika gambar-gambar tidak bertudungnya keluar daripada simpanan pihak lain terutama media.

Dalam pada itu, katanya, sebagai insan yang baharu sahaja berhijrah, dia sentiasa mencari dan berusaha untuk membetulkan kesilapan yang pernah dilakukannya.

"Alhamdulillah, saya rasa sangat tenang lepas membuang gambar-gambar tersebut, selepas bertudung ini saya banyak mencari apa yang tidak betul lagi dalam diri saya.

"Saya nampak Allah taala tunjuk satu persatu apa yang patut saya perbaiki bagi menjadi seorang insan yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, sepanjang Ramadan ini, Raja Azmi berkata dia banyak menolak undangan berbuka puasa sepanjang Ramadan kali ini.

Katanya, dia mengambil peluang bulan puasa ini untuk melakukan sebanyak mungkin ibadah dan melakukan solat terawih.

"Ramadan kali ini saya banyak tolak undangan berbuka puasa sebab tidak mahu tertinggal solat terawih.

"Bulan ini juga saya mula mengaji semula dan banyak membuat ibadah bagi mendapatkan keberkatan," katanya.

Raja Azmi, Sharifah Aini

Artikel Lain