PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif, Metrowealth International Group (MIG), David Teo enggan mencampuri sebarang urusan berkaitan isu kehilangan kereta milik aktres Wawa Zainal. David berkata, perkara tersebut berada diluar bidang kuasanya selepas Wawa mengambil tindakan untuk keluar daripada pengurusan syarikat tersebut. "Saya tidak tahu menahu mengenai kejadian tersebut dan enggan mencampuri urusan Wawa kerana dia bukan lagi artis bawah pengurusan saya," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa. Terdahulu, Wawa menerusi laman Twitter miliknya memuat naik beberapa status sejak Jumaat lalu mempertikaikan kehilangan kereta jenis Suzuki Swift miliknya sejak setahun lalu. Wawa dan suaminya, pelakon Aeril Zafril. Dalam beberapa entri yang ditulisnya Wawa mendesak si pencuri supaya tampil memohon maaf atas kejadian tersebut dan mendakwa ia perbuatan orang yang pernah rapat dengannya. Wawa turut menyindir 'pencuri' itu dengan kata-kata menggambarkan dia sememangnya mengenali individu terbabit. Dalam pada itu, ditanya mengenai status sindiran pelakon itu kepada siapa ditujukan David menegaskan ia bukan ditujukan kepada pihaknya. Jelas David lagi, pandangan tersebut hanya sekadar telahan dan ia mungkin ditujukan kepada pihak lain. "Mungkin sindiran itu dibuat untuk pengurus, keluarga atau teman rapatnya. Ia tiada kena mengena dengan MIG," tegasnya. Bagaimanapun David mengakui kereta berkenaan adalah milik MIG yang diberikan kepada Wawa semasa pelakon itu menjadi artis di bawah naungan syarikat tersebut. Sementara itu, David berkata, sejak Wawa mengambil keputusan untuk meninggalkan MIG selepas kontroversi perkahwinan rahsianya dengan aktor Airel Zafril tahun lalu mereka tidak pernah lagi berjumpa. Wawa dan Aeril gagal dihubungi mStar Online untuk menjelaskan tentang perkara itu dengan lebih mendalam.