suria

Bocey Sangkal Dakwaan Kecil Hati Dengan TV3

Kumpulan Bocey tampil dengan filem pertama mereka berjudul Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa.
PETALING JAYA: Kumpulan Bocey menyangkal dakwaan kononnya mereka berkecil hati dengan pihak pengurusan stesen televisyen TV3 yang dilihat seolah-olah mengabaikan mereka selepas menyertai program Bintang Mencari Bintang (BMB) tahun lalu.

Salah seorang anggotanya, Fard atau nama sebenarnya Muhamad Fadzlie Mohd Nizam berkata, mereka tidak pernah berasa diabaikan kerana stesen tersebut telah membuka banyak ruang kepada Bocey untuk bertapak dalam bidang komedi selepas program itu berakhir.

"Kecil hati? Kenapa mesti kami berkecil hati dengan mereka (TV3) sedangkan stesen tersebut banyak memberi peluang dan ruang kepada kami untuk lebih dikenali sebagai pelawak semenjak BMB berakhir.

"Banyak juga kami terlibat dalam program-program terbitan TV3 mungkin barangkali penonton tidak perasan atau pun ada yang masih belum disiarkan," katanya kepada mStar Online.

Fard ditemui pada majlis tayangan perdana filem pertama mereka berjudul Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa (KAMDRS) yang diadakan di Cineleisure E@Curve Damansara di sini.

Filem arahan Hashim Rejab itu turut menampilkan Yassin dan Epy Kodiang sebagai pelakon dan menemui penonton di pawagam bermula 14 Ogos 2014.

Selain Fard, Bocey turut dianggotai oleh oleh Mohd Nasir Hamzah (Acey) dan Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan (Abam).

Bocey mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega 2013.

Dalam pada itu, Fard berkata, wajah mereka dilihat lebih banyak muncul di saluran Astro sejak akhir-akhir ini mungkin disebabkan dengan adanya saluran Astro Warna yang dikhususkan untuk rancangan komedi.

Fard menjelaskan hal tersebut tidak sepatutnya menjadi isu kerana mereka tidak terikat dengan sebarang kontrak dengan TV3 mahupun Astro selain bebas untuk menerima sebarang tawaran.

"Sebagai artis baharu kami amat terbuka dengan mana-mana stesen televisyen yang mahukan khidmat kami dan bersyukur diberi peluang yang sangat banyak oleh kedua-dua rangkaian berkenaan.

"Buat masa ini kami lebih selesa bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana pihak selain mengambil peluang ini untuk menimba ilmu dan mencari pengalaman," jelasnya. 

Sementara itu, Acey berkata, mereka tidak menyangka dipilih sebagai teraju utama filem KAMDRS biarpun ketika itu mereka sedang bertanding dalam program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2013.

Jelasnya lagi, dia yakin dengan kemunculan filem pertama mereka itu ia akan dapat mengetengahkan lagi nama kumpulan itu dikalangan peminat.

"Bocey dan pengarahnya mengambil risiko untuk menjayakan filem ini kerana kami masih baharu dan ini adalah karya komedi pertama Hashim Rejab sebagai pengarah.

"Bagaimanapun pengalaman pertama kali berlakon filem ini banyak memberi pendedahan kepada kami selain mengeratkan lagi keserasian di antara kami bertiga sebagai sebuah kumpulan," katanya.

Artikel Lain