suria

Erin Malek Hadkan Pergaulan Sejak Bertunang

Erin berasa lebih matang selepas menjalinkan ikatan pertunangan.

PETALING JAYA: Pelakon Erin Malek mengakui sejak mengikat tali pertunangan dengan Farriz Fauzy, 30, pada 21 Jun lalu, dia mula membataskan pergaulan dengan orang di sekelilingnya.

Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek, 20, berkata, dia berbuat demikian kerana mahu menjaga nama baiknya sebagai tunangan orang selain mahu membuat perubahan dalam menjadi seorang yang lebih matang.

"Ramai yang menganggap keputusan saya ingin berkahwin dibuat terlalu awal kerana kononnya saya belum matang sepenuhnya.

"Tetapi mereka silap. Sejak bertunang, saya lebih memikirkan tentang masa depan.

"Saya juga meletakkan syarat terhadap diri sendiri sebagai contoh mengurangkan lepak pada waktu malam, pandai jaga diri dan yang penting menghadkan pergaulan di sekeliling," katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin.

Erin mengikat tali pertunangan dengan Farriz dalam satu majlis yang diadakan di Duta Suria Residency di Ampang pada 21 Jun lalu.
Sementara itu, mengenai persiapan perkahwinan yang bakal berlangsung pada Oktober depan, Erin bersyukur kerana segala persiapan berjalan dengan lancar dengan bantuan keluarga serta teman-teman baiknya.

Malah kata Erin, sehingga kini dia langsung tidak menyentuh urusan hal-hal persiapan perkahwinan kerana ibunya mahu dia mengakhiri zaman solonya dengan tenang.

"Mak kata saya tidak perlu buat apa-apa pun. Semuanya dia dan teman baik saya yang uruskan. Jadi saya mengambil peluang itu untuk meluangkan masa lebih bersama keluarga sebelum bergelar isteri," ujarnya.

Ditanya pula, adakah dia dan tunangnya turut melalui dugaan pertunangan yang sering dilalui oleh pasangan bertunang, kata Erin, dia bersyukur kerana perhubungan dengan berjalan seperti biasa dan mereka hanya berbalah pendapat mengenai perihal perkahwinan sahaja.
Erin Malek

Artikel Sebelum

Artikel Lain