KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Datuk Rossa masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua selepas bercerai dengan Surendro Prasetyo atau Yoyo yang juga anggota kumpulan Padi lima tahun lalu. Rossa atau nama sebenarnya Rossa Roslaina Sri Handayani, 35, berkata, dia bukannya serik untuk berkahwin semula tetapi masih belum bertemu dengan lelaki yang sesuai. "Soal perkahwinan itu bukan perkara mudah dan sejujurnya saya belum bertemu dengan lelaki yang sesuai. "Jodoh itu rahsia Allah dan jika ada nanti saya terima dengan hati terbuka," katanya. Rossa ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya berjudul Love, Life & Music yang diadakan di Hotel Best Western Premier di sini pada malam Isnin. Hafiz membuat kejutan apabila muncul pada majlis pelancaran album terbaharu Rossa dan mereka sempat menyampaikan lagu duet mereka berjudul Salahkah. Hasil perkahwinan Rossa dengan Yoyo mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Rizki Langit Ramadan, 8 tahun. Dalam perkembangan lain, Rossa berkata, dia mengambil masa hampir tiga tahun melancarkan album terbaharunya kerana bersikap cerewet terhadap pemilihan lagu untuk dimuatkan dalam album tersebut. Jelas Rossa, dia mahu lagu-lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan berkualiti dan dapat memenuhi citarasa peminat. "Tahun ini genap 10 tahun saya dalam bidang nyanyian dan saya mahu memberikan sesuatu yang istimewa kepada peminat. "Sebelum memulakan proses rakaman saya mengambil kira apa pandangan peminat selain melihat senario industri muzik supaya lagu-lagu itu nanti dapat menambat hati peminat," ujarnya. Rossa meraikan ulang tahun ke-10 sebagai penyanyi. Sementara itu, Rossa berkata, dia memilih judul Love, Life & Music kerana album berkenaan tentang kisah peribadinya sebagai seorang penyanyi. Menerusi album itu juga, Rossa berkata, dia ingin menampilkan sisi matangnya sebagai seorang penyanyi termasuk dari segi lirik dan muzik. "Album ini tentang kisah peribadi saya dan perubahan muzik seiring dengan kematangan saya sebagai penyanyi," katanya. Album studio keenam penyanyi berkenaan menampilkan 10 buah lagu dan mendapat sentuhan daripada penerbit terkenal seperti Melly Goeslow, Bemby Noor, Charly Van Houten dan Badai Krispatih. Antara lagu yang dimuatkan adalah Jatuh Cinta Setiap Hari, Sisakan Hatimu, Hijrah Cinta, Bukan-Bukan, Salahkah dan As One.