suria

Sari Yanti Ingin Serius Jadi Penerbit Drama

Sari Yanti gembira drama terbitan pertamanya tercalon untuk Anugerah Lawak Warna 2014.
KUALA LUMPUR: Pelakon Sari Yanti yang baharu berjinak-jinak dalam bidang penerbitan mengakui mendapat banyak permintaan daripada stesen televisyen bagi menerbitkan lagi drama selepas terbitan pertamanya berjudul Pengancam Perkahwinan disiarkan di Astro Ria akhir tahun 2013.

Bagaimanapun, Sari Yanti berkata, perkara tersebut masih dalam perancangan berikutan tiga lagi rakan kongsi dalam syarikat penerbitannya Media Glow iaitu pelakon Tam Shuhaimi, Farish Aziz dan Intan Ladyana kini sibuk dengan komitmen masing-masing.

"Alhamdulillah selepas tayangan drama itu kami banyak dapat maklum balas yang positif dan ada stesen yang minta untuk kami terbitkan lagi daram-drama berbentuk begitu.

"Namun buat masa ini kami masing-masing belum ada masa untuk berbincang kerana semua sibuk dnegan komitmen dan penggambaran drama," katanya kepada mStar Online.

Drama Pengancam Perkahwinan berjaya dicalonkan dalam kategori Lakon Layar Komedi Terbaik (TV) pada Anugerah Lawak Warna 2014 yang akan berlangsung pada 19 September ini di Teater Selangor, Shah Alam.

Tambah Sari Yanti, pencalonan yang diterima itu merupakan pembakar semangatnya untuk lebih serius dalam bidang penerbitan.

"Ini memang impian saya untuk menceburi bidang penerbitan, sebagai pendatang baru pencapaian ini sudah boleh membangga kami.

"Insya-Allah, dengan pencalonan ini sedikit sebanyak beri semangat kepada kami berempat untuk cari idea untuk menghasilkan produk yang urban dan lebih berkualiti," ujarnya.

Pengancam Perkahwinan mengisahkan mengenai dua sahabat baik sejak di bangku sekolah. Bagaimanapun, kerana sikap ego dan cemburu masing-masing yang tinggi mereka bertukar menjadi seteru.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain