PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Awal Ashaari mengakui mendapat tawaran untuk menjadikan anaknya, Lara Alana yang kini berusia dua bulan sebagai model iklan sebuah produk. Awal, 33, berkata, dia tidak akan menyekat rezeki yang datang kepada bayi sulungnya itu, namun ia bergantung kepada produk yang dirasakan sesuai. "Saya akui memang sejak isteri saya Scha mengandung lagi sudah dapat tawaran dan ada yang merisik untuk menjadikan bayi kami sebagai model produk mereka. "Saya tidak ada masalah atau menghalang rezeki yang dia dapat biarpun masih kecil, tapi biarlah ianya bersesuaian dengan usianya seperti barangan bayi. Buat masa ini saya sedang mempertimbangkan tawaran yang datang," katanya kepada mStar Online. Gambar terbaharu Lara Alana. Bagaimanapun, Awal berkata, ia bukan bermaksud mereka menjadikan anak sulungnya itu sebagai salah satu sumber pendapatan keluarga. Katanya, segala pendapatan yang diterima daripada hasil anaknya itu akan dijadikan sebagai simpanan untuk masa depan Lara. "Saya pandang daripada sudut positif dan itu adalah rezeki dia. Lagi pun hasil yang dia dapat itu kita akan buat simpanan masa depan dia juga nanti," ujarnya. Dalam pada itu, bercerita tentang perkembangan bayi comel itu, Awal menyifatkan Lara sudah menunjukkan ciri-ciri seorang yang sukakan perhatian. Katanya, bayi tersebut lebih gemar dikelilingi orang ramai berbanding ditinggalkan bersendirian. "Dia suka kalau orang datang mengerumuni dia, jika tiada siapa yang datang tengok dia akan menangis," ujarnya.