PETALING JAYA: Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan perarakan tentera bersempena dengan Kuala Lumpur Tattoo Antarabangsa 2014 secara langsung bermula 10 hingga 12 Oktober ini menerusi saluran TV2. Acara yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia itu akan berlangsung di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam. "Kuala Lumpur Tattoo Antarabangsa 2014 merupakan salah satu acara utama dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 yang membolehkan pelancong tempatan dan luar negara melihat pertunjukan khas yang semangat patriotik negara. "Persembahan perarakan terbesar ini melibatkan penyertaan dari 12 buah negara dengan melibatkan angkatan tentera terlatih dari negara Brunei Darussalam, India, Indonesia, Myanmar, New Zealand dan Singapura. "Negara Afrika Selatan, Korea Selatan, Thailand, Turki, Emiriah Arab Bersatu dan United Kingdom turut terlibat dalam perarakan tersebut," kata pegawai perhubungan awam RTM menerusi kenyataan media yang di-e-melkan kepada mStar Online. Paparan menakjubkan gabungan disiplin dan koreografi kreatif perarakan, tarian persembahan dan orkestra muzik berkualiti juga bakal dipersembahkan oleh angkatan tentera terlatih dari Rejimen Angkatan Tentera Darat Diraja Malaysia termasuk Polis Diraja Malaysia. Selain itu, tarian perang, paip beg dan band tembaga, akrobatik, demonstrasi tentera dan persembahan meriam, persembahan Artilary, pertunjukan bunga api, laser serta cahaya dan muzik turut dipersembahkan.