suria

Rambut Maudy Koesnaedi Gugur Teruk Gara-Gara Filem Soekarno

Maudy Koesnaedi berasa risau rambutnya gugur ketika terlibat dalam filem Soekarno: Indonesia Merdeka.

PETALING JAYA: Pelakon Indonesia Maudy Koesnaedi, terpaksa berdepan dengan masalah keguguran rambut selepas terlibat dengan penggambaran filem biografi presiden pertama negara itu, Soekarno: Indonesia Merdeka tahun lalu.

Maudy, 33, berkata, dia berperanan sebagai isteri kedua Soekarno iaitu Inggit Garnasih di mana rambutnya terpaksa diwarnakan putih dan disanggul dalam tempoh yang lama.

"Watak Inggit merupakan seorang wanita 13 tahun lebih berusia daripada Soekarno dan saya perlu menampakkan diri lebih tua.

"Akibatnya, rambut saya gugur teruk sehingga terpaksa memotong pendek agar mudah untuk membuat rawatan.

"Sudahlah saya merupakan duta kepada produk rambut Lorea'l Paris Indonesia. Saya bimbang jika ia menjadi isu kepada pihak produk berkenaan," katanya kepada mStar Online.

Soekarno:Indonesia Merdeka yang diarahkan oleh Hanung Bramantyo mula ditayangkan 2 Oktober 2014 di pawagam seluruh negara.

Watak Inggit yang dilakonkan Maudy.

Filem yang turut dibintangi Ario Bayu itu sudah ditayangkan di Indonesia pada tahun lalu.

Sementara itu, beritahu Maudy, dia juga mengalami kesukaran dalam menjiwai emosi Inggit kerana tidak banyak rujukan mengenai watak tersebut berbanding dengan isteri ketiga Soekarno iaitu Fatmawati.

"Tidak ramai yang mengenali Inggit kerana kebanyakan rakyat Indonesia hanya mengenali Fatmawati.

"Kerana tidak banyak rujukan yang ada, saya mengambil inisiatif membuat kaji selidik bertemu dengan ahli keluarga Inggit selain sempat bertemu dengan anak serta cucu wanita itu," ujarnya.

Bagaimanapun tambah Maudy, walaupun watak itu agak mencabar, dia cuba tidak membiarkan diri terlalu tertekan sepanjang penggambaran berlangsung.

Dalam perkembangan lain, Maudy merancang mahu membawa kisah Inggit ke pentas teater pula.

Maudy Koesnaedi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain