suria

17 Pendengar Menang RM50,000 Telinga Power Suria FM

Barisan pemenang utama bersama Bob Ringgo (atas: dua dari kiri), Adiwati dan Adibah Noor pasa sesi penyerahan cek peraduan Telinga Power Suria FM. Foto RAYMOND OOI

PETALING JAYA: Tiga pemenang berjaya membolot hadiah wang tunai tertinggi menerusi peraduan Telinga Power Suria FM yang bermula sejak 1 hingga 26 September lalu.

Pemenang kelahiran Kuala Lumpur, Zulaikha Hajaddin, 32, berjaya mendapat wang tunai sebanyak RM11,500 dengan hanya sekali cubaan untuk meneka bunyi pembuka tin.

"Sebenarnya tak susah pun nak teka selepas diberi pembayang kata yang ketiga iaitu pusing.

"Kebetulan pula, ketika mengubungi Suria fm, taliannya tidak sibuk, dan saya terus memberi jawapannya. Alhamdulillah ini semua adalah rezeki saya sekeluarga," katanya kepada mStar Online.

Zulaikha ditemui pada majlis penyerahan cek di pejabat Suria FM di Tropicana Tower, di sini pada Jumaat.

Zulaikha merupakan pemenang yang mendapat wang tunai tertinggi dalam peradua Telinga Power Suria FM.

Selain itu, pemenang dari Terengganu, Mohd Taufik Nik, 35, berjaya membawa pulang RM8,500, manakala Hasri Lee (Perak), 37, pula memenangi RM7,500.

"Ini merupakan kali pertama saya cuba nasib menyertai peraduan di radio dan tak sangka pula rezeki saya menang dengan jumlah nilai yang besar. Saya akan simpan duit ini untuk masa depan," ujarnya.

Keseluruhannya, sebanyak RM27,500 diberikan kepada 14 lagi pemenang peraduan tersebut.

Pengurus Program Suria FM, Adiwati Zainuddin berkata, Telinga Power Suria FM menerima maklum balas positif daripada pendengar yang mahu ia dijadikan sebagai peraduan yang dianjurkan secara kerap.

"Sebenarnya bukan senang untuk menyertai peraduan ini kerana pendengar perlu mengikuti segmen Telinga Power Suria FM setiap hari. 

"Tetapi tidak sangka tiga pemenang yang dijemput ke pejabat Suria FM hari ini (Jumaat) membawa pulang jumlah wang yang besar. Saya gembira peraduan ini satu kejayaan buat pihak kami," katanya.

Menerusi peraduan tersebut, pendengar hanya perlu menjadi pemanggil pertama selepas isyarat ke udara dan dikehendaki meneka klip bunyi yang dimainkan dalam masa 10 saat.

Setiap bunyi yang berjaya diteka melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM500 sebagai ganjaran dan jika gagal jumlah tersebut akan digandakan ke segmen seterusnya.

Pada sesi penyerahan cek tersebut, penyampai radio Adibah Noor dan Bob Ringgo turut hadir memeriahkan majlis.
Telinga Power Suria FM

Artikel Sebelum

Artikel Lain